Khamis, 28 Jun 2012

Anti Hadis


Mufti tolak kaji semula larangan buku 'anti-hadis'
9:54AM Jun 28 2012

Beberapa orang mufti dan aktivis Islam menolak desakan supaya pengharaman buku "Hadis: Satu Penilaian Semula" tulisan Kassim Ahmad yang dikaitkan dengan anti-hadis, ditarik balik.

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya (bawah, kopiah putih) berkata usaha Kassim supaya kerajaan menarik balik pengharaman itu adalah sia-sia.

NONE"Para ulama hampir seluruhnya menolak pandangan ganjil beliau. Debat dan jawapan kepada pandangan pelik beliau telah lama direkod dan sudah menjadi bahan sejarah.

"Jadi kita tidak perlu membuang masa melayan perkara yang sia-sia seperti ini dan beliau sepatutnya mengkaji semula pandangannya itu," katanya kepada Bernama dalam satu SMS di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Kassim Ahmad menuntut kerajaan menarik semula pengharaman itu dan beliau mendakwa sudah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkenaan perkara itu tiga bulan lepas.

Kerajaan pada 10 Julai 1986 mengharamkan buku itu manakala Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat buku itu mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah.

NONEAntara kandungan buku itu ialah penyelewengan dari sudut akidah iaitu menolak hadis secara total sebagai sumber akidah dan perundangan Islam, menolak dua kalimah syahadah, menolak Qada' dan Qadar (satu daripada Rukun Iman), dan memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran.

Percanggahan dari sudut syariah pula ialah menolak pensyariatan sembahyang, menolak ketetapan hukum Fiqh Islam mengenai aurat wanita manakala percanggahan dari sudut akhlak ialah menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah dan mencerca dan memfitnah para ulama.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata buku itu tidak perlu kajian semula.

"Nak kaji buat apa. Tidak perlu lagi. Semua tindakan sudah diambil. Dan hanya dia seorang yang mempertikaikan tindakan ke atas buku yang diharamkan itu," katanya kepada Bernama.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Nakhaie Ahmad menasihatkan mereka yang mahukan pembaharuan dalam Islam agar terlebih dulu mendalami Islam, al-Quran dan hadis.

"Faham betul Islam itu dan jangan buat perkara-perkara yang mengarut. Jangan buat kajian mengikut kehendak dan fahaman kita sahaja. Faham tradisi ilmu, pengajian, intelektual Islam dan kemudian menguasainya," katanya.

Beliau berkata pembaharuan adalah baik tetapi sekiranya membawa idea yang cetek ia akan hanya menghabiskan masa orang lain untuk membincangkannya.


------------------------------------------------------------------------


KDN arah Jakim semak haram buku Kassim

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji 
semula pengharaman buku Hadis: Satu Penilaian Semula tulisan sarjana kontroversi Dr Kassim Ahmad.

Menurut Dr Kassim, arahan itu terkandung dalam surat KDN kepada Jakim bertarikh 20 Jun, yang salinannya dilampirkan turut diposkan ke rumahnya di Kulim.

NONEMenurut intelektual yang terlibat dalam politik, agama dan budaya itu, surat daripada pejabat ketua setiausaha KDN kepada ketua pengarah Jakim itu diterimanya pada 24 Jun lepas.

Malaysiakini semalam melaporkan, Dr Kassim tiga bulan lalu menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya 26 tahun lalu ditarik balik.

Hadis: Satu Penilaian Semula diharamkan pada tahun 1986 selepas beberapa bulan diterbitkan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat ia mengandungi fahaman yang bertentangan dengan akidah.

Harap cabar pemikiran generasi baru

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Dr Kassim positif nasib buku itu akan berubah seiring pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan banyak program transformasi dalam pentadbirannya.

"Jadi kita nak tengok balik apa yang kerajaan pimpinan Najib akan buat dengan inovasi dan transformasi yang beliau lakukan ini," kata bekas tokoh pemimpin gerakan kiri yang pernah sekejap menyertai Umno itu.

Dr Kassim juga menyifatkan langkah KDN merujuk Jakim sebelum memutuskan status buku itu sebagai betul dan "menurut prosedur".

Seandainya penarikan pengharaman itu benar-benar berlaku, Dr Kassim berharap ia akan mencabar generasi baru yang belum pernah membacanya agar mengkaji semula kedudukan "ulama" dalam struktur masyarakat.

"Umat Islam hari ini bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia, kita terlalu mendewa-dewakan sarjana," katanya merujuk kepada imam empat mazhab fikah dalam Islam.

Sementara itu, KDN ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan ada menghantar surat berkenaan kepada Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Jakim.

Seorang pegawai kanannya memberitahu, keputusan penarikan balik larangan itu bergantung kepada maklum balas dari Jakim.

"Perkara ini bergantung kepada kesegeraan," kata sumber dalaman itu.

Buku itu memperlihatkan cubaan Dr Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik 'kelemahan' umum, kelemahan kritikan sanad serta mengetengahkan 'kontradiksinya' dengan Quran, sains dan sejarah.

Buku mengumpulkan lima siri ceramah berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hampir tiga dekad lalu itu mencetuskan pelbagai reaksi serta dijawab oleh enam buah buku lain.

Dalam perkembangan berkaitan, pemorhonan penerbitan semula dan penterjemahan buku baru Dr Kassim Islamic Renaissance oleh Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) setakat ini masih belum pasti.

Semakan Malaysiakini dengan semalam ITBM mendapati syarikat penerbitan kerajaan itu masih belum menerima buku yang diposkannya sebelum ini.



------------------------------------------------------------------------


Kassim Ahmad: Tarik larangan buku 'anti-Hadis'
WAWANCARA Selepas 26 tahun, penulis dan sarjana kontroversi Kassim Ahmad menuntut kerajaan menarik balik pengharaman bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula yang dicop pelbagai pihak memprogandakan ajaran anti-Hadis.

Yakin penerimaan masyarakat sudah berubah, Kassim - tokoh kiri selepas kemerdekaan - mendedahkan, beliau sudah mengutus sepucuk surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk tujuan itu tiga bulan lalu.

NONE"Tiga bulan lepas saya tulis surat kepada Hishammuddin. Saya kata keadaan kini sudah mula berubah banyak.

"Kerajaan kita pun sekarang sudah hapuskan ISA dan beberapa undang-undang darurat. (Jadi) patutlah pengharaman buku ini ditarik balik," katanya.

Bekas presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) itu pada 1986 mencetuskan kegemparan apabila tampil dengan Hadis: Satu Penilaian Semula yang amat kritikal terhadap Hadis - sumber hukum kedua tertinggi dalam Islam selepas al-Quran.

Selepas perdebatan demi perdebatan dengan sarjana dan NGO Islam, termasuk di media, kerajaan pada Julai 1986 mengharamkan buku itu manakala Majlis Fatwa Kebangsaan mendakwa ia mengandungi fahaman bertentangan dengan akidah.

Buku itu, antaranya didakwa terpengaruh dengan saintis Mesir yang berhijrah ke Amerika Syarikat Dr Rashad Khalifa (gambar terjemahan al-Quran oleh Rashad di bawah) yang dibunuh pada 1990 selepas mengaku sebagai rasul.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi bukunya Dilema Umat Islam-Antara Hadis dan al-Quran menerima nasib sama.

Dr M terima, Anwar pernah setuju

Usaha Kassim menerbitkan al-Quran terjemahan sendiri berjudul Bacaan (juga diharamkan pada 1995) bersama sahabatnya, seorang warganegara Singapura Osman Ali, juga menimbulkan keresahan banyak pihak.

Kassim bagaimanapun menafikan bersikap anti-Hadis tetapi kritikal kepadanya serta menerima kira-kira 40 peratus hadis yang diriwayatkan, yang dianggapnya tidak bertentangan dengan al-Quran.

NONEKetika diwawancara Malaysiakini di kediamannya di Kulim, Kassim berkata, surat yang dihantar melalui pos berdaftar kepada Hishammuddin itu bagaimanapun belum berbalas.

"Dia mesti (tarik balik). Sebab sekarang ini pun banyak orang sudah balik kepada al-Quran. Tinggal lagi dia (kerajaan) tak iktiraflah," katanya yakin ketika ditanya sama ada harapan supaya buku itu beredar semula dalam pasaran masih menyala.

Seolah masih segar dalam ingatan, Kassim berkata, dalam tempoh 26 tahun sejak buku itu diterbitkan, pelbagai pihak perlahan-lahan berubah dan menerima pandangannya, termasuklah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pada mulanya didakwa bersetuju dengan buku itu "secara prinsip" sebelum berubah pendirian kemudiannya.

NONEMenurut Kassim, setiausaha Anwar pernah memberitahunya "kami bersetuju dengan kamu secara prinsip, tetapi berbeza secara taktikal" tetapi selepas buku itu hangat diperdebatkan, beliau difahamkan Anwar berpakat dengan "ulama" untuk menekannnya.

Mengulas penerimaan terhadap gagasannya itu, anak kelahiran Kedah itu berkata, terdapat seorang iman Masjid Keling di negeri itu yang dikenali sebagai "Bukhari" amat menghormati pandangannya selepas buku itu diterbitkan.

Allahyarham Imam Bukhari, tambah Kassim, malah mencadangkan kepada orang ramai untuk mendalami ideanya yang kritikal terhadap Hadis dalam buku Hadis: Satu Penilaian Semula.

"Ada seorang cikgu daripada Sabah jumpa Imam Bukhari di Mekah. Dia (Bukhari) kata, hang nak tau pasal Islam hang pi jumpa Kassim Ahmad. Dia (guru itu) betul mai pada saya, (kira-kira) sepuluh hingga 15 tahun lalu," katanya.

Mohon ITBM terjemah buku baru
Walaupun sering menjadi mangsa tekanan pihak berkuasa, Kassim - bekas anggota Umno - tetap menulis tanpa menghiraukan semua itu.

NONEKini, ketika umur senjanya di angka 79 tahun, beliau turut membentangkan pandangan-pandangannya di media sosial yang digemari orang muda, termasuk blog dan Facebook.

Buku terbarunya Islamic Renaissance (kanan) keluaran penerbit Amerika Syarikat Branbowpress dilancarkan di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Kassim, yang selalu bersikap positif, bagaimanapun mahukan bukunya dicapai banyak pihak, mendedahkan beliau sudah memohon agensi kerajaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dua minggu lalu supaya menterjemah buku itu.

Menurutnya, pengantar Islamic Renaissance dalam bahasa Melayu akan ditulis oleh pemerhati politik dan aktivis Dr Chandra Muzaffar, yang juga sahabat lamanya.

Buku baru kira-kira 250 halaman itu antaranya menegaskan pandangannya yang kritikal terhadap hadis menggunakan method saintifik, termasuk teori "Kod 19" yang dipelopori Rashad.

Teori itu antaranya berpendapat jumlah perkataan dalam al-Quran disusun berdasarkan 19 perkataan atau gandaannya dengan tepat.

azlanIslamic Renaissance juga turut menyentuh perkembangan semasa politik, antaranya dengan beranggapan PAS yang "konservatif", DAP yang "didominasi Cina" PRK yang "Machiavellian"
tidak akan dapat menyelamatkan kepimpinan Melayu di negara ini.

Selain tulisan berbentuk sastera dan sejarah Melayu, buku-buku lain Kassim berkaitan agama dan perjalanan rohaninya termasuk Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik, Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme kepada Islam dan Universiti Kedua.

Dan seperti biasa, Kassim terus menunggu jawapannya dalam perpustakaan kecil rumahnya di Kulim - sebuah bandar kecil di Utara Semenanjung Malaysia.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan