Rabu, 20 Jun 2012

Khalwat - Razak Ahmad


15/06/2012

Khalwat: Razak Ahmad didenda RM2,900

PETALING JAYA 14 Jun - Pelakon Razak Ahmad didenda RM2,900 atau penjara setahun oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, enam tahun lalu.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad memutuskan demikian selepas mendapati pelakon tersebut gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Wan Mahyuddin sempat menasihati Razak supaya menjaga tingkah laku kerana sebagai seorang selebriti, perbuatannya akan menjadi ikutan masyarakat sama ada kelakuan yang baik atau buruk.

"Kamu mempunyai latar belakang agama, selalu melakonkan watak-watak baik di kaca televisyen, seperti imam dan qari yang sering membacakan ayat-ayat suci al-Quran.

"Perbuatan kamu bukan sahaja menjejaskan reputasi kamu sendiri malah keluarga, masyarakat dan juga peminat kamu, sepatutnya kamu menjaga akhlak kamu di dalam dan di luar kaca televisyen," ujar hakim tersebut.

Bagaimanapun menurut Wan Mahyuddin lagi, tertuduh berhak diberi peluang kedua untuk berubah dan bertaubat kerana ini merupakan kesalahan kali pertama pelakon itu.

Terdahulu, dalam rayuan meringankan hukuman, peguam syarie, Mohammad Azman Karim yang mewakili Razak, memohon agar hukuman penjara tidak dikenakan atas alasan anak guamnya sudah menyesal dan bertaubat atas kesilapan yang tidak disengajakannya itu.

"Kes ini telah memakan masa selama enam tahun dan dalam tempoh itu, tertuduh telah menjalani hukumannya dengan melalui pelbagai rintangan hidup seperti kehilangan banyak tawaran berlakon dan disenaraihitamkan oleh stesen televisyen RTM.

"Anak guam saya juga telah bercerai dalam dua perkahwinannya selepas kejadian itu dan menanggung malu dengan masyarakat," kata Mohammad Azman.

Pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang sejajar dengan peruntukan sedia ada.
Razak, 45, didapati bersalah atas tuduhan berada bersama Selamah Sahudin, 45, dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.

Ketika Razak didakwa bersama Selamah pada 14 September 2006, Razak memohon dibicarakan sementara Selamah mengaku salah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang perbicaraan bermula pada 2 Ogos 2007 itu, pendakwaan memanggil tiga saksi manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan Razak sebagai saksi.

Razak ketika ditemui pemberita sebelum membayar denda itu menyatakan, dia kecewa dengan keputusan tersebut dan enggan memberikan komen lanjut.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan