Rabu, 20 Jun 2012

Cacat Cemerlang

Pelajar cacat fizikal gembira terima anugerah cemerlang

 
 
 
Hazman Shahir Samsul Kamal disapa oleh rakan-rakannya, Amzar Khalili (kanan), Wong Seow Teng (dua dari kiri) dan Leong Yun Yi pada majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang PMR, SPM dan STPM oleh Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, Melaka, semalam. 
 
MELAKA 19 Jun - Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Dol Said di sini, Hazman Shahir Samsul Kamal, 16, yang berkerusi roda sejak kecil, terharu apabila dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Cemerlang daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, anugerah yang diterima menyemarakkan semangatnya untuk mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

''Saya banyak kekurangan kerana kecacatan fizikal sejak kecil. Saya tidak boleh berjalan dan sentiasa berada di kerusi roda sepanjang hayat,'' katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dewan Seri Negeri di sini hari ini.

Walaupun mengalami kecacatan fizikal sejak kecil, dia masih mampu mencatat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu apabila memperoleh 5A dan 3B.

Hazman Shahir yang ditemani ibu kesayangannya, Azlina Hassan, 40, melahirkan rasa gembira kerana menerima penghargaan daripada kerajaan negeri.

Sementara itu ibunya, Azlina berkata, dia amat berbangga apabila anak sulungnya menerima anugerah pelajar cemerlang daripada kerajaan negeri.

''Inilah saat paling gembira buat saya kerana Hazman walaupun tidak sempurna seperti rakan sebayanya yang lain tetapi hari ini dia cukup ceria," katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu ialah antara 500 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menerima anugerah daripada kerajaan negeri.

Kesemua pelajar tersebut masing-masing menerima sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium (SSP) antara RM100 hingga RM200 atas pencapaian cemerlang peperiksaan tahun lalu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan