Sabtu, 16 Jun 2012

Felda Chuping Berdemo

Penduduk berkumpul bantah peneroka tidak bersyukur

10 Jun 2012 
 
KANGAR - Sekumpulan penduduk, termasuk pewaris peneroka Felda Chuping dekat sini, mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap para peneroka serta petugas Felda yang menentang kerajaan.
 
Mereka berkumpul di bulatan Felda Chuping dengan membawa pelbagai sepanduk bagi menyatakan tuntutan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap peneroka serta petugas Felda yang tidak bersyukur itu.
 
Sejak pukul 3 petang, kira-kira 300 penduduk berkumpul di bulatan itu bagi mempamerkan bantahan mereka dan bersurai kira-kira pukul 4.15 petang selepas kehadiran Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
 
Kumpulan itu yang menamakan diri mereka sebagai kumpulan 'Cuci' turut menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar supaya memanjangkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Jurucakap kumpulan itu, Ali Ismail berkata Felda Chuping perlu dicuci daripada para peneroka yang tidak bersyukur, begitu juga dengan petugas agensi itu.

Katanya sejarah awal penubuhan Felda Chuping menyaksikan pengorbanan para penduduk tempatan menyerahkan tanah yang mereka usahakan untuk dijadikan ladang tebu oleh Felda pada awal tahun 70-an.
 
Selepas itu, lebih 440 peneroka dari luar kawasan diundang ke situ untuk memulakan penghidupan baru dan di situ kehidupan mereka yang daif telah berubah menjadi lebih mewah.
 
Ali berkata kerajaan sering mengeluarkan pelbagai imbuhan untuk golongan peneroka dari semasa ke semasa dan yang terbaru imbuhan sebanyak RM15,000 bagi setiap keluarga.
 
"Kami kecewa kerana mereka masih tidak bersyukur dan menentang kerajaan secara terang-terangan," katanya.
 
Sementara itu, Menteri Besar Perlis berkata beliau akan meneliti memorandum yang diterima daripada kumpulan itu sebelum memanjangkannya ke peringkat yang lebih tinggi.
 
Katanya perhimpunan aman itu membuktikan bahawa rakyat mahu golongan yang menikmati kemewahan hasil daripada pembangunan yang dicurahkan oleh kerajaan kepada mereka supaya bersyukur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan