Khamis, 28 Jun 2012

Seludup Petrol




Cabut lari tinggal pikap sarat petrol

 

PADANG BESAR: Seorang lelaki warga Thailand sanggup menggadai nyawa dengan memecut laju pikapnya yang sarat dengan muatan 1,000 liter petrol sebelum meninggalkan kenderaan itu di kawasan Kampung Melayu di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi, suspek berusia 30-an itu dikejar pihak berkuasa selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak kira-kira dua kilometer daripada pintu sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Difahamkan, pikap Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand itu dipercayai dalam perjalanan ke sempadan, disyaki cuba menyeludup keluar petrol ke negara jiran.

Komander Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, sepasukan anggota daripada skuad peronda UPP Padang Besar terserempak dengan kenderaan pikap terbabit sebelum mengekorinya.

Katanya, suspek yang menyedari diekori memecut pikap berkenaan menghala kawasan kampung untuk mengelak daripada ditahan. “Suspek yang menyedari cubaannya gagal, berhenti dan meninggalkan pikap terbabit di kawasan Kampung Melayu sebelum melarikan diri meninggalkan kenderaan itu.

“Hasil siasatan, kenderaan itu sarat dengan 1,000 liter petrol dalam lima tangki tambahan,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya percaya suspek yang disyaki berusia 30-an sudah lama menjalankan kegiatan haram itu.

“Pikap bersama stok petrol susidi terbabit kemudian dirampas sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan