Sabtu, 16 Jun 2012

Ancaman Ombak

Ratusan rumah di Perlis juga diancam ombak besar

7 Jun 2012 
 
KANGAR - Ombak besar dan air pasang melanda kawasan pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang semalam mengakibatkan ratusan buah rumah dimasuki air.

Pulau Pinang dan Kedah juga berhadapan dengan masalah itu semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis Mat Hassan berkata, ratusan rumah dimasuki air masin apabila air pasang disertai ombak mula berlaku pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, beliau melawat mangsa air pasang itu dan mendapati kebanyakannya telah pun memindahkan barangan ke tempat selamat.

Sementara itu, di kampung Sungai Padang dekat sini, para penduduk berhadapan saat mencemaskan apabila air memasuki rumah separas pinggang dalam masa 15 minit akibat ombak besar.

Seorang mangsa, Haliah Shaari, 52, berkata rumahnya dimasuki air serta lumpur apabila dipukul ombak mengakibatkan pelbagai barangan di dalamnya rosak.

Wanita itu berkata, ombak turut menghanyutkan seekor anak paus sepanjang satu meter dan seberat 3.4 kilogram lalu terdampar berhampiran rumahnya.

Seorang pakar biologi marin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Dr Ridzwan Abdul Rahman berkata, berdasarkan bentuk ikan itu, ia merupakan sejenis mamalia marin iaitu paus.

Tinjauan mendapati jalan pinggir pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang dipenuhi lumpur dan mangsa masih bertungkus lumus membersihkan rumah mereka.

Turut meninjau mangsa ombak di Sungai Padang ialah Ketua Umno bahagian Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan