Rabu, 20 Jun 2012

Buku Terlarang

Pengurus stor didakwa jual buku Irshad Manji

KUALA LUMPUR 19 Jun - Seorang pengurus stor kedai buku Borders di pusat beli-belah The Gardens Mall, Mid Valley didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, atas tuduhan menyebarkan buku tulisan penulis kontroversi, Irshad Manji yang bertentangan dengan hukum syarak.


Irshad Manji ialah seorang penulis wanita berfahaman Islam liberal yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melalui hasil tulisannya.

Nik Raina Nik Abdul Aziz  36, didakwa menjual buku penulis terbabit bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman) yang merupakan terjemahan daripada buku asal Allah, Liberty and Love (The Courage to reconcile faith and freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak.




Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 8.41 dan 9.45 malam, 23 Mei lalu di kedai buku Borders milik Berjaya Books Sdn. Bhd., Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.



                                                Nik Raina Nik Abdul Aziz ( Tengah )

Nik Raina bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ibrahim Deris dibantu oleh Ketua Penolong Pengarah, Salehan Yatim.

Tertuduh yang hadir ditemani beberapa rakan sekerjanya diwakili peguam syarie, Rosli Dahlan.

Terdahulu, ketika prosiding bermula, Rosli memohon kepada pihak pendakwaan agar pertuduhan tidak dibacakan, kes ditangguhkan dan anak guamnya dibebaskan sementara dengan bon atas alasan terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan 'perkara-perkara' yang dimaksudkan.

Ibrahim bagaimanapun menyerahkan isu-isu yang ditimbulkan oleh peguam syarie kepada budi bicara mahkamah kerana bidang kuasa pendakwaan hanya tertakluk kepada membawa kes ke mahkamah untuk pertuduhan.

Hakim Abdul Walid kemudian mengarahkan agar pertuduhan dibacakan namun sejurus selepas tuduhan terhadap Nik Raina dibaca, Rosli sekali lagi bangkit memohon agar pengakuan tidak direkodkan atas alasan serupa.

''Saya tidak faham, tidak tahu cerita apa lagi, awak dah minta tangguh. Bila pertuduhan dibacakan, mohon pengakuan tidak direkodkan. Bila pertuduhan dibacakan, pengakuan kena direkodkan,'' ujar hakim.

Selepas membuat pertimbangan, hakim tersebut membenarkan permohonan tersebut dan merekodkan bahawa tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan pada hari ini.
Mahkamah membenarkan Nik Raina dibebaskan dengan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 September ini untuk merekodkan pengakuan tertuduh.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan