Khamis, 14 Jun 2012

Tanah Tergadai

Lembaga Biasiswa Perlis kesan waris tanah tergadai

01/11/2011 - Cerita Lama

KANGAR 1 Nov — Lembaga Biasiswa Negeri Perlis kini mengesan waris pemilik tanah yang digadai kepada Lembaga Penanam Padi negeri itu untuk mengembalikannya selepas proses penebusan selesai.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata terdapat kes tanah tergadai yang telah ditebus, namun nama dalam geran masih tidak ditukar kepada pemilik asalnya.
Sehubungan itu, Lembaga Biasiswa Negeri Perlis akan bertindak menyelesaikan kes seumpamanya dengan segera.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tanah pemilik asal iaitu Allahyarham Ahmad Che Man kepada anaknya, Radzi Ahmad, 56, di pejabat beliau hari ini.
Dr Md Isa, yang juga Pengerusi Lembaga Biasiswa Negeri Perlis, turut menyerahkan pampasan berjumlah RM59,000 kepada Radzi berikutan pengambilan tanah berkenaan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Beliau berkata tanah seluas 0.8 hektar dan terletak di mukim Utan Aji itu digadai kepada Lembaga Penanam Padi Negeri Perlis dengan nilai RM4,000 pada tahun 70-an kerana masalah kewangan dan selepas Ahmad meninggal dunia, anaknya Rosli, 53, menebusnya secara ansuran hingga selesai.
Sementara itu, Radzi, bekas pensyarah Universiti Telekom Melaka, berkata beliau bersama lapan beradik lain berterima kasih di atas perhatian Menteri Besar yang menyelesaikan masalah tanah peninggalan ayah mereka itu, kerana selama ini mereka tidak menduga ia akan diperoleh kembali.

Sebelum itu, Dr Md Isa menyampaikan dana pelajaran berjumlah RM189,000 kepada 214 pelajar membabitkan 164 di peringkat ijazah dan 50 di peringkat diploma.
Dalam ucapan pada majlis itu, beliau berkata sejak Januari lalu, sejumlah RM1.75 juta dikeluarkan sebagai dana kepada 1,683 pelajar yang melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dan diploma.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan