Jumaat, 6 Julai 2012

Permotoran - Ferrari


PELANCARAN FERRARI 458 SPIDER




 


Naza Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia), pengedar rasmi kenderaan Ferrari tempatan, hari ini melancarkan model sports terbaru, Ferrari 458 Spider.

Kereta baru berkenaan ditawarkan pada harga antara RM1.9 juta dan RM2.2 juta, bergantung kepada spesifikasi yang dikehendaki pelanggan.

Pengerusi Bersama Syarikat-Syarikat Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, sebuah 458 Spider telah dijual pada hari ini. Bagaimanapun kuota untuk tempahan kereta Ferrari di negara ini telah penuh untuk tempoh tiga tahun akan datang.

"Setakat ini, 450 buah Ferrari telah dijual di Malaysia dan ia mencatat peningkatan jualan lebih 30 peratus dalam tempoh beberapa tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ferrari 458 Spider dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Syarikat-Syarikat Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin.

Kereta sports baru ini 25 kilogram lebih ringan dan senyap serta efisien berbanding model bumbung boleh buka tradisional sebelum ini.

Ferrari 458 Spider menggunakan enjin 570 CV 4,499cc V8 yang mampu memecut daripada 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 3.4 saat dan kelajuan maksimum adalah 320 km/j.

Penggunaan minyak pada model ini ialah 11.8 liter untuk setiap 100 km dengan kadar pembebasan karbon dioksida 275 gram setiap kilometer.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan