Sabtu, 16 Jun 2012

BSK Perlis

Nasib wanita Islam di Perlis yang dicerai tanpa nafkah kini terbela

15 Jun 2012 
 
KANGAR - Nasib wanita Islam yang diceraikan tanpa nafkah kini lebih terbela sejak kewujudan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), kata Ketua Hakim Syarie Perlis, Saarani Ismail.

Menurutnya, melalui BSK, wanita yang diceraikan akan memperoleh hak mereka dan anak-anak dengan lebih sempurna.

Bercakap kepada para pemberita selepas majlis pengisytiharan 12 peguam syarie di kompleks Mahkamah Syariah Perlis di sini hari ini, beliau berkata, banyak kes suami yang ingkar keputusan mahkamah dengan tidak membayar nafkah.

Perkara itu menjadikan nasib bekas isteri dan anak-anak tidak terbela dan BSK yang diwujudkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sejak 2008 akan melaksanakan proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah syariah.

Saarani berkata, BSK diwujudkan di Perlis sejak tahun lalu dan sebanyak RM50,000 diperuntukkan sebagai dana bagi membantu isteri yang tidak mendapat nafkah.

Menurutnya, BSK akan membantu bekas isteri yang terabai nafkah mereka kerana keingkaran bekas suami mematuhi perintah mahkamah berhubung nafkah yang perlu dikeluarkan.

"Kami gunakan dana itu untuk membayar nafkah yang sepatutnya diterima bekas isteri manakala bekas suami perlu membayar balik kos BSK yang telah dikeluarkan kepada bekas isteri," katanya.

Menurutnya, oleh kerana BSK masih baru di Perlis, tidak banyak yang memanfaatkannya dan sejak diwujudkan hanya kira-kira lima bekas isteri yang menerima dananya.

"Dana yang dikeluarkan itu dianggap sebagai hutang bekas suami dan mereka perlu membayarnya atau menghadapi tindakan seterusnya jika masih ingkar," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Mahkamah Syariah lewat mengendalikan kes, Saarani berkata, perkara itu adalah tidak benar kerana setiap kes yang difailkan sentiasa disegerakan proses perbicaraannya.

"Kami akan memastikan setiap kes yang difailkan akan dikeluarkan perintah dalam tempoh 21 hari dan dakwaan bahawa ada kes tertunggak sehingga tujuh tahun tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, apa yang disebut sebagai kes lewat dibicarakan disebabkan salah faham pengadu kes rumah tangga kerana mereka membuat aduan di Jabatan Agama Islam Perlis dan bukan memfailkan kes mereka di mahkamah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan