Rabu, 13 Jun 2012

13/06/2012 A



SABRY Ahmad (dua dari kanan) bersama Mat Hassan (kanan) meninjau keadaan pusat pendaratan ikan Kompleks LKIM Perlis ekoran ikan berkurangan dalam musim fenomena angin kencang dan laut bergelora di Kuala Perlis, kelmarin. 

KANGAR 9 Jun - Keadaan angin kencang dan laut bergelora di perairan Perlis telah menyebabkan kadar pendaratan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, Kampung Perak, dekat sini merosot sehingga 60 peratus sehari sejak 4 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi, Sabry Ahmad berkata, sebelum fenomena cuaca seperti ini biasanya pendaratan ikan di kompleks ini antara 800 hingga 1,000 metrik tan sehari.
''Sekarang hanya 300 hingga 400 metrik tan sahaja ikan yang dinaikkan sehari, keadaan ini dijangka akan berlarutan dalam tempoh lima hari lagi," katanya ketika selepas melakukan tinjauan di Kompleks LKIM, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Kuala Perlis, Mat Hassan, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perlis, Jasni Hashim dan Pengurus Besarnya, Yusri Md. Isa.
Dalam tinjauan itu, kata Sabry, beliau juga mendapati aktiviti pendaratan ikan di kompleks itu yang biasanya rancak sepanjang waktu juga menjadi lengang selepas tengah hari.
Sabry berkata, pendapatan nelayan juga turut merosot kerana tidak dapat ke laut.
Bagaimanapun, katanya, nelayan diminta mematuhi arahan Jabatan Meteorologi jika ingin ke laut demi mengelak sebarang kejadian buruk.
''Keadaan ini juga menyebabkan harga ikan di pasaran naik sehingga 20 peratus daripada biasa kerana bekalan berkurangan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ini berlaku buat sementara sahaja dan dijangka akan pulih selepas 13 Jun ini.
Katanya, setakat ini, ikan dingin beku menampung keperluan tempatan memandangkan ikan segar berkurangan.
Sabry menambah, pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang kerana boleh membeli ikan dingin beku yang dijual di lapan premis Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia LKIM yang telah dibuka di negeri ini.
Katanya, ikan yang dibekalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Perlis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dijual dengan harga antara 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan