Selasa, 19 Jun 2012

Raja Tegur Imam

 

 Raja Perlis tegur imam suka cari populariti 

 

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menegur sikap segelintir imam yang lebih gemar mencari populariti di kalangan anak jemaah sehingga membelakangi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Islam Perlis (Maips).

Baginda kecewa kerana sikap imam yang lebih mengutamakan pandangan anak jemaah bagi mengekalkan populariti mereka akan menjejaskan sistem pengurusan agama Islam negeri ini.

"Imam adalah pemimpin agama bagi kariah mereka dan perlu ada pendirian tegas dalam amalan anak jemaah mereka," titah baginda ketika merasmikan Masjid Ar-Rahim Titi Tok Bandar dekat sini, malam semalam.

Turut berangkat ke majlis perasmian masjid berharga RM2.3 juta itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis bertitah, dalam lawatan baginda ke masjid di seluruh Perlis, mendapati ada imam yang gagal mematuhi arahan Maips.

Baginda kecewa kerana imam memaklumkan mereka terpaksa mengingkari Maips kerana mengikut kehendak anak jemaah.

"Setiap imam di negeri ini jangan suka mencari populariti untuk mendapat undian banyak daripada anak jemaah seperti dalam rancangan realiti Akademi Fantasia," titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin menasihati imam yang meragui arahan Maips supaya mendapatkan penjelasan Maips dan bukan anak jemaah mereka.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Jafperi Othman, berkata lebih banyak kursus kepada pegawai masjid akan diadakan bagi meningkatkan kualiti pentadbirannya.

Katanya, pengurusan masjid juga diarah mempelbagaikan aktiviti mereka supaya masjid bukan saja sebagai tempat beribadat, tetapi juga tempat penyatuan masyarakat.

"Tahun ini banyak masjid akan dinaik taraf termasuk beberapa masjid akan mengadakan khutbah Jumaat multimedia supaya anak jemaah lebih khusyuk dan mudah memahami kandungan khutbahnya," katanya. 



-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan