Sabtu, 16 Jun 2012

Bangkai Ikan

Helah letak ikan tak menjadi

16 Jun 2012 
 

Petrol yang cuba diseludup ke negara jiran dengan menutupinya dengan bangkai ikan.
 
KUALA PERLIS – Helah seorang lelaki yang menggunakan bangkai ikan bagi mengelakkan perbuatannya yang cuba menyeludup minyak terbongkar apabila tingkah lakunya dihidu sepasukan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) petang, semalam.

Lelaki warga Thailand berumur dalam lingkungan 30-an itu cuba menyeludup barangan subsidi negara dengan menyembunyikan petrol terbabit di bawah tong yang berisi bangkai ikan.

Komander UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman berkata, lelaki terbabit cuba menutupi aktiviti penyeludupan itu dengan menyembunyikan minyak di bawah bangkai ikan, sebelum memuatkannya di dalam sebuah kenderaan sebelum dihantar ke negara jiran.

Bagaimanapun, taktik penyeludup itu dapat dikesan sepasukan UPP Kuala Perlis hasil daripada maklumat orang awam di Pasar Kuala Perlis.

Dalam kejadian kira- kira 7 petang semalam, suspek berjaya ditahan anggota UPP ketika sedang memunggah tong berisi bangkai ikan ke atas sebuah pikap bernombor pendaftaran Thailand.

Hasil pemeriksaan, menemui 10 tong yang setiap satu diisi 30 liter petrol disembunyikan di bawah longgokan bangkai ikan berkenaan.

Katanya, bangkai ikan itu digunakan untuk dijadikan baja bagi tanaman dan suspek menggunakan kesempatan itu untuk menyeludup minyak petrol ke negara jiran.

“Jumlah barangan yang berjaya dirampas pihak kita dianggarkan sebanyak RM40,570 dan jumlah ini termasuk kenderaan yang dirampas,” katanya semasa sidang media.

Semua barang rampasan dan lelaki terbabit diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.


 # Dahsyat orang Thailand ni , makan sini , tidur sini , kerja sini , kencing sini.....seludup lagi.
    Kalau kita disana mampus kena tembak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan