Jumaat, 15 Jun 2012

Nizar HERO Sultan Murka



 

Sultan Johor murka terhadap Nizar

 





Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima teks ucapan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.


NUSAJAYA 14 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataan beliau yang mengkritik secara terang-terangan bidaan RM520,000 oleh baginda untuk mendapatkan nombor pendaftaran WWW 1.

Walaupun tidak menyebut secara langsung nama Mohammad Nizar, namun 'pemimpin politik' yang disebutkan dalam titah baginda jelas merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Perak itu yang disifatkan baginda sebagai 'lupa mengenai adab Melayu serta jahil dan cetek akal' kerana bidaan tersebut dibuat mengikut prosedur yang betul.

"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara sebenar. Bukankah berdiam itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik?
Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya 'janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati'.

"Tindakan yang saya buat adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan setiap kebajikan yang saya buat juga tidak perlu diperbesarkan. Tindakan pemimpin ini bukan sahaja mendatangkan kemurkaan kepada saya tetapi juga satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor.
 
"Saya harap dia sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor, bukan kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-12, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat yang menyokong dan menyembah ikrar taat setia untuk menjaga kedaulatan raja dan negeri ini.

Titah baginda, perpaduan rakyat perlu dikekalkan kerana ia adalah asas kepada kewujudan negara dan kemajuan yang diperoleh, ketika ada sesetengah pihak yang mahukan perpecahan berlaku demi kepentingan politik sempit.

"Mereka sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu-isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara kita.

"Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah 'musang berbulu ayam' ini," titah baginda.


Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada 12 Jun lalu, memohon maaf kepada Sultan Johor dan rakyat negeri ini namun tetap mempertahankan pendiriannya dengan dakwaan kenyataan di dalam akaun laman Twitter miliknya sebagai disalah tafsir media.



ADA LAGI

Nizar hantar surat mohon hadap Sultan Johor

15 Jun 2012 
 
 
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
 
SHAH ALAM - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menghantar surat memohon perkenan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.

Dalam surat itu, Mohamad Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak memohon menghadap Sultan Johor bagi mengzahir permohonan maaf berhubung kenyataan beliau menyentuh pembidaan nombor pendaftaran WWW 1.
 
Ketika dihubungi, Penolong Setiausaha Pas Perak, Safarizal Saleh mengesahkan surat itu dihantar.
 
"Baru tadi dihantar, hari ini," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Surat itu dialamtkan kepada Setiausah Sulit kepada Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

Nizar antara lain berkata, beliau memohon menghadap Sultan Johor bagi menjelaskan kesulitan yang berlaku.

Selasa lalu, Mohamad Nizar berkata, beliau bersedia untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung kenyataan menerusi Twitternya mengenai bidaan no pendaftaran WWW 1.

Mohammad Nizar berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan rasmi bagi mengadap Sultan Johor dalam masa terdekat  bagi membolehkan beliau menerangkan kedudukan sebenar seterusnya menghentikan kontroversi yang melanda isu tersebut.

"Selepas Sultan Johor menyatakan bahawa elok saya memohon kemaafan kepada rakyat Johor, hari ini saya ingin menyatakan seikhlas hati bahawa saya ingin sangat untuk mohon kemaafan kepada Sultan Johor sendiri.

"Tweet saya merupakan pandangan peribadi dan umum daripada seorang rakyat biasa tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak...ini yang perlu diperjelas kepada
Sultan Johor supaya tiada lagi spekulasi dan salah faham selepas ini," katanya.

Beliau kini disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan dakwaannya di twitter berhubung kejayaan Sultan Johor membuat bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 dengan harga RM520,000.

Sultan Ibrahim memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1 pada harga RM520,000 dan kemudian Mohammad Nizar melalui twitternya menyatakan bahawa jumlah wang
yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar ketika ditemui wartawan di Ipoh pagi tadi berkata, beliau akan mengemukakan saman fitnah kepada dua organisasi media  kerana mendakwa memutarbelitkan mesej twitternya berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

Beliau berkata, saman yang akan dikemukakan dalam masa terdekat itu dibuat berikutan tindakan penyiaran laporan yang dibuat kedua-dua media berkenaan, dikatakan menjadi punca timbulnya pelbagai persepsi rakyat terhadap mesej yang dikeluarkannya, 28 Mei lalu.

“Saya sudah berbincang dan keputusan sudah dibuat untuk mengemukakan saman fitnah ini dalam masa terdekat.

“Ada satu lagi stesen televisyen akan terlibat sama dalam isu saman fitnah ini, tetapi yang itu pihak saya masih lagi meneliti laporan yang dikeluarkan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu menegaskan, isu saman tetap akan dijalankan meskipun permohonan untuk mengadap Sultan Johor tidak diperkenankan.

"Ini adalah dua perkara yang berlainan, sehingga pagi ini saya masih belum menghantar sebarang permohonan rasmi, jika tiada apa-apa halangan, kemungkinan petang ini atau esok pagi surat berkenaan akan dihantar," katanya.


Yang Ni Pun Ada

Tiada ulasan:

Catat Ulasan