Khamis, 28 Jun 2012

Jawatankuasa Khas

 27/06/2012

UMNO Padang Besar rancang tubuh jawatankuasa khas

ARAU 26 Jun - UMNO Bahagian Padang Besar merancang menubuhkan jawatankuasa khas bersama UMNO bahagian-bahagian lain di Perlis untuk memantau dan menangani isu melibatkan integriti pemimpin parti dan juga Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Ketuanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jawatankuasa tersebut turut membabitkan ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Minggu depan, saya dan UMNO Bahagian Padang Besar akan mengadakan perjumpaan dengan UMNO Bahagian Kangar serta Arau untuk membentuk jawatankuasa ini.

"Kita juga akan memikirkan nama yang sesuai untuk jawatankuasa khas tersebut," kata beliau dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini.

Menurut Zahidi, penubuhan jawatankuasa berkenaan perlu memandangkan sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai isu yang mempersoalkan integriti pemimpin UMNO di negeri ini menerusi laman portal atau blog sama ada daripada pembangkang atau orang perseorangan.

"Menerusi jawatankuasa ini, kita boleh mendesak pemimpin yang disabitkan dengan isu tertentu supaya membuat penjelasan atau sekiranya benar sebagaimana didakwa, tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan," katanya.

Kata Zahidi, penubuhan jawatankuasa tersebut juga bertujuan menjaga imej UMNO daripada sebarang isu yang boleh menjejaskan parti.

"Kita tidak mahu disebabkan isu berkaitan integriti pemimpin, nama UMNO buruk tambahan pula ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan