Jumaat, 2 Januari 2015

Tarikan Tersendiri


Muzium Kota Kayang miliki tarikan sendiri
 
 

KANGAR - Muzium Kota Kayang di sini mempunyai tarikan untuk menjadi destinasi pelancongan di Perlis khusus bagi golongan yang meminati sejarah, kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Datuk Ibrahim Ismail.

Menurutnya Jabatan Muzium berusaha menempatkan lebih banyak bahan dan artifak bersejarah di muzium itu untuk dijadikan simpanan bagi menambah daya tarikan.

"Justeru saya berharap orang ramai terutama warga Perlis bersama-sama kita membantu Jabatan Muzium mempromosi Muzium Kota Kayang supaya ia terus  dikunjungi para pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Berucap merasmikan Karnival Muzium Kota Kayang di sini hari ini, Ibrahim berkata lebih 70,000 orang mengunjungi Muzium Kota Kayang tahun ini sehingga semalam.

Ibrahim berkata pengunjung ke muzium itu dapat mengetahui lebih dekat sejarah asal tapak muzium yang merupakan tapak bekas istana Sultan Kedah ke-15, Sultan  Dhiauddin Mukaram Shah semasa Perlis menjadi sebahagian negeri Kedah.

"Kedudukan istana tersebut strategik kerana dikelilingi bukit sebagai perlindungan daripada serangan musuh di samping berhampiran Sungai Perlis yang menjadi  nadi ekonomi kerajaan, rakyat dan laluan perhubungan pada abad tersebut," katanya.

Pengarah Muzium Kota Kayang, Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata karnival tiga hari itu bermula semalam dan pelbagai aktiviti diadakan yang memberi peluang pengunjung melawat pameran serta muzium.

Antara aktiviti adalah Ziarah Muzium Bersamamu iaitu melawat dan memberi sumbangan kepada lima keluarga miskin kawasan sekitar muzium, persembahan kebudayaan, ceramah agama, pertandingan seni suara burung, persembahan artis-artis undangan serta perarakan konvoi kereta dan motosikal.

Turut diadakan pertandingan gusti lengan, kugiran lagu-lagu 60-an, sukaneka bersama komuniti setempat, pertunjukan wayang kulit, pertandingan cili giling, pertandingan dan demonstrasi masakan tradisional, pertunjukan auto dan audio serta pertandingan mewarna kanak-kanak sekolah rendah.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan