Isnin, 12 Januari 2015

Perlis Maju 2015



Wawasan Perlis Maju arah tuju pembangunan negeri


KANGAR - Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, Wawasan 'Perlis Maju 2015' tidak harus dipolemikkan kerana ia dirancang untuk meletakkan asas dan arah tuju pembangunan negeri.
    
Beliau berkata, walaupun wawasan itu diisytiharkan pada 2005 tetapi usaha memperincikannya untuk dilaksanakan hanya dibuat pada 2011.
    
Selama tempoh itu daripada 53 indikator yang ditetapkan, tumpuan kini hanya kepada baki 11 yang masih perlu diusahakan bagi memenuhi kriteria Perlis menjadi negeri maju.
    
“Satu daripadanya ialah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada lebih RM18,000 yang dianggap sebagai sangat mencabar kerana pendapatan per kapita rakyat Perlis masih sekitar RM5,000 setahun kini,” katanya.
    
Azlan berucap pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri yang pertama bagi tahun 2015 dihadiri pegawai-pegawai jabatan persekutuan dan negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini. 
    
"Dalam bidang mikro, kita yakin mampu menghapuskan kemiskinan yang kira-kira 0.24 peratus sahaja. Bagaimanapun untuk mengurangkan nisbah kebergantungan rakyat dalam kehidupan terhadap pihak lain daripada 49.8 peratus kepada 37 peratus memerlukan usaha keras.
"Mungkin ada orang akan kata tahun 2015 Perlis dah maju, banyak rumah batu, banyak itu dan banyak ini. Hakikatnya kerajaan negeri tidak akan berhenti sehingga matlamat itu tercapai.
    
"Masalah ponteng sekolah di Perlis yang mencecah 20 peratus adalah tinggi. Saya harap ibu bapa lebih bertanggungjawab kerana kita mahu meningkatkan bilangan anak-anak Perlis belajar di pusat-pusat pengajian tinggi," kata Azlan.
    
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus berusaha menambah baik atau mengekalkan 42 indikator yang dicapai dalam tempoh setahun itu.
Kerajaan negeri juga, katanya, sedang mengambil langkah memperkemaskan  perkhidmatan dan operasi bekalan air yang kehilangan hasil air terawat (NRW) sebanyak 62 peratus iaitu yang tertinggi di seluruh negara.
    
"Tindakan ini termasuk dalam 11 indikator yang belum tercapai," kata Azlan.
    
Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Speaker Dun Perlis, Hamdan Bahari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan