Dahlan (kanan) ketika menunggu mayat anaknya di bilik mayat HTF semalam. 
 
Kelihatan guru dan rakan sekolah Erni dari Sekolah Kebangsaan Dato Wan Ahmad Kangar turut berada di pekarangan bilik mayat tersebut.
KANGAR - Kegembiraan dua beradik yang baharu selesai menjamu selera di sebuah kedai makan berakhir tragedi apabila adiknya maut digilis kereta ketika melintas jalan di kilometer 8.2 jalan Kangar-Padang Besar, malam kelmarin.

Mangsa, Erni Natasya, 9, yang dibawa keluar oleh kakaknya, Nur Izatul Fatini, 19, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pagi semalam selepas cedera parah di kepala dan anggota badan.

Bapa mangsa, Dahlan Saad, 43, berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah mendapat panggilan telefon jam 11 malam kelmarin.

"Nur Izatul bawa Erni keluar dan lepas makan, mereka melintas jalan tetapi Erni terlepas genggaman tangan kakaknya lalu dia berlari seorang diri ke seberang jalan sebelum dilanggar motosikal kemudiannya digilis kereta," katanya.

Menurutnya, tiga anaknya tinggal bersama ibu mereka selepas dia dan isteri berpisah.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah dua minggu lalu di rumah neneknya di Guar Jentik, Padang Besar.

"Erni seorang yang periang dan petah bercakap.

 Malah dia juga anak yang rajin belajar.

 Walaupun anak-anak tak tinggal bersama, tetapi saya kerap pergi berjumpa mereka," katanya ketika ditemui di bilik forensik HTF, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Padang Besar Superintendan Rizani Che Ismail berkata, Erni dilanggar motosikal semasa melintas jalan sebelum digilis kereta.

Menurutnya mangsa yang cedera parah di kepala dan badan kemudiannya dibawa ke HTF untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

Penunggang motosikal berusia 18 tahun hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan manakala pemandu kereta yang merempuh mangsa masih belum tampil membuat laporan.

“Pihak polis berharap pemandu kereta terbabit datang ke balai polis bagi membantu siasatan kejadian tersebut,” katanya.



 Al - Fatihah