Jumaat, 2 Januari 2015

Laporan Banjir




KANGAR - Sungguhpun Perlis turut dilanda banjir, penduduk  negeri ini tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan untuk mangsa banjir di Pantai Timur yang teruk dilanda bencana alam itu.
 
Agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam Perlis, badan bukan kerajaan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Majlis Belia Negeri Perlis (MBNPs) menggerakkan inisiatif mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai.
 
Pegawai Perhubungan jabatan itu, Mohd Ridzuan Abdul Ghani berkata jabatan  menghantar barangan keperluan seperti pakaian, makanan dan air minum dalam sebuah lori tiga tan dan sebuah lori lima tan ke pusat pengumpulan di Kelantan malam tadi.
 
Misi kedua berupa sumbangan sama akan dihantar Khamis ini, katanya .
 
Hari ini, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Perlis (DPPMPs) menyumbangkan barangan bernilai RM6,000 yang diserahkan kepada Unimap. 
 
Yang Dipertua DPMMPs Datuk Fauzi Hassan menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimap, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Seriab di sini.
 
Dr Zul Azhar berkata, sumbangan daripada orang ramai dan syarikat akan diserahkan pada Khamis ini kepada agensi yang dilantik kerajaan bagi mengagihkannya kepada mangsa banjir di Pantai Timur.
 
Sementara itu, 22 pemimpin dan anggota MBNPs hari ini berlepas ke Kelantan membawa barangan sumbangan keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang.
 
Yang Dipertuanya, Mohd Saiful Munir Bidin yang mengetuai konvoi Misi Belia Prihatin Mangsa Banjir Pantai Timur itu berkata antara barangan yang dibawa ialah 500 kampit beras, 500 botol air minuman dan 35 kotak tuala pakai buang.
 
Isteri Menteri Besar Perlis, Datin Seri Noraswana Omar melepaskan misi itu yang menggunakan lima buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori di perkarangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sini.
 
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Datuk Abu Bakar Ahmad pula berkata MAIPs menyumbang makanan dan pakaian bernilai RM20,000 kepada mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang yang akan dihantar pagi esok.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan