Selasa, 20 Januari 2015

Politik Semasa - Pemuda PAS mahu ganti TGHAH


Ganti Hadi: Pemuda Pas serah ahli buat keputusan


 Suhaizan Kaiat

SHAH ALAM – Pemuda Pas menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan kawasan berhubung isu jawatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dicadangkan agar tidak dicalonkan bagi jawatan sama pada pemilihan parti 2015-2017 ini.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, pimpinan Pas peringkat kawasan yang bertanggungjawab mencadangkan mana-mana calon bagi jawatan Presiden dan bukannya dibuat secara individu.

“Pemilihan pimpinan Pas ini dicadangkan oleh pimpinan Pas peringkat kawasan.

Di peringkat kawasan itu, mereka mempunyai penilaian mereka sendiri.

“Biasanya, saya lihat mereka tidak terpengaruh dengan pandangan-pandangan yang ada di luar.

 Mereka ada pandangan mereka sendiri, jadi, kita serahkanlah pada pimpinan Pas kawasan untuk menentukan perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Ketika diminta mengulas soal tindakan bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff yang membuat kenyataan di laman Facebook minggu lalu berhubung jawatan Abdul Hadi itu, Suhaizan berkata, sebagai ahli biasa, Zulhazmi berhak memberi pandangan.

“Saudara Zulhazmi itu ahli biasa dalam Pas, jadi, dia nak beri pandangan terpulang pada dia sebab itu saluran yang dia ada.

Dia bukan pimpinan Pas (untuk bercakap dalam mesyuarat). Jadi terpulanglah.

Dia bukan mewakili mana-mana pimpinan Pas kawasan. Itu hak dia. Kerana akhirnya keputusan itu nanti akan dibuat oleh pimpinan Pas kawasan juga,” katanya.

Ketika diminta mengulas soal kenyataan seorang penganalisis politik yang menjangkakan dalam pemilihan akan datang, Pas sekali bakal dipimpin golongan ulama, beliau mengingatkan bahawa kekuatan Pas adalah hasil kombinasi kedua-dua golongan tersebut.

Sehubungan itu, Pemuda tidak mempunyai sebarang kekangan untuk dipimpin oleh mana-mana golongan.

Kekuatan Pas itu adalah kerana kombinasi profesional dan ulama.

Jadi, kita (Pemuda) tak ada masalah atas kombinasi itu.

“Selama ini pun, atas kombinasi itu.

Bukan seorang saja yang memerintah dalam Pas ini. Hakikatnya begitu,” katanya.




__________________________________________


'Dia ahli biasa tak perlu layan'
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyifatkan kenyataan Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff supaya Presiden Pas tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti pertengahan tahun ini, sebagai kenyataan yang tidak perlu dilayan.

Katanya, Zulhazmi hanya ahli biasa dalam Pas dan tidak perlu respons pada kenyataanya itu.

“Tidak perlu respon kenyataan dia.. siapa dia.. dia ahli biasa sahaja dalam Pas," katanya.

Selain menjelaskan bahawa Zulhazmi adalah peguam Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) iaitu salah  sebuah NGO yang lantang mengkritik kepimpinan Pas di bawah Abdul Hadi, Satiful Bahri turut membidas Zulhazmi supaya tidak mencampuri urusan parti itu.

Satiful Bahri menegaskan, perwakilan dalam Muktamar Pas akan memainkan peranan untuk menentukan sama ada Abdul Hadi kekal atau sebaliknya.

Kalau kepimpinan persatuan peringkat dunia iktiraf beliau (Abdul Hadi) dengan melantiknya sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, kenapa kita di Malaysia hendak tolak?

“Untuk jawatan Mursyidul Am Pas, kita sudah ada Timbalan Mursyidul Am iaitu Datuk Dr Harun Din,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas Pusat mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Zulhazmi Shariff yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada Muktamar 2013 berkata, ini sebab Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Satiful Bahri yang juga Adun Paka menjelaskan bahawa suara yang lantang itu tidak lebih sebagai suara picisan dan karenah mereka tidak perlu dilayan.

Walaupun menyedari tindakan Pasma semakin lantang, apatah lagi membuat kenyataan terbuka melalui laman sosial dan media mengenai Pas, beliau tidak melihat ia sebagai ancaman.

Dalam Pas, kita sudah lama menghadapi perkara seperti itu,” katanya.



________________________________________________


Khidmat Abdul Hadi masih diperlukan
Datuk Mohd Amar Abdullah
KOTA BHARU - Walaupun pelbagai pendapat diutarakan mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, namun Pas Kelantan menegaskan khidmat pemimpin itu masih diperlukan bagi menerajui kepemimpinan tertinggi parti selepas ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Abdul Hadi adalah pemimpin yang mempunyai pengalaman dan masih layak memegang jawatan tersebut.

Beliau dapat pengiktirafan dunia sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, penghormatan sangat besar, bukan senang nak cari pemimpin tempatan diiktiraf sebegini.

"Maka, sesuailah beliau masih memegang tampuk pemerintahan tertinggi parti, pendapat orang lain itu  hanyalah pandangan peribadi mereka sahaja, bukan pendirian parti,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai presiden untuk pemilihan 2015 hingga 2017 yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar turut menegur tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika masih ada lagi pihak yang berbuat demikian.

Musim banjir, ada lagi pihak politikkan barangan sumbangan, letak cap, letak lambang parti dan ada juga kawasan memerlukan cop wakil rakyat, kalau tidak, borang tidak lulus, sedangkan tiada syarat yang meletakkan sebegitu.

"Sekarang ini kita sudah sediakan peguam, jika ia masih berterusan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Mohd Amar berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana barangan sumbangan bukanlah daripada pihak tersebut tetapi daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang perseorangan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya adakan Sidang Dun Khas bagi mengemukakan rang undang-undang pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2014, 29 Disember lalu, namun ia ditunda satu tarikh lain.

"Sehingga kini, kami masih menunggu tarikh sesuai, dijangka ia diadakan akhir Januari ataupun awal Februari ini.

"Namun, perkara ini akan diputuskan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebelum ia dibawa untuk  perkenan Sultan Kelantan," katanya.


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan