Rabu, 14 Januari 2015

BR1M khamis ini


Bayaran BR1M mulai Khamis ini
  • BR1M BR1M
PUTRAJAYA - Pembayaran pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 hanya akan dibuat mulai Khamis ini dan bukan Ahad lepas seperti yang disebarkan melalui laman sosial dan aplikasi telefon pintar.

Kementerian Kewangan berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, pengagihan baucar BR1M akan dibuat mulai 17 Januari dan dijangka berakhir pada 31 Mac.

Sebelum ini, terdapat  mesej BR1M yang disebar mendakwa orang ramai boleh mengeluarkan BR1M mulai 11 Januari di CIMB Bank dan Bank Rakyat, Bank Muamalat dan Bank Islam (12 Januari) manakala bank-bank lain pada 13 dan 14 Januari lalu.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, kerajaan memutuskan pembayaran BR1M yang dijadual pada akhir Jan dipercepatkan mulai 15 Januari dan ia akan dibuat secara berperingkat dengan keutamaan diberi kepada penerima dari negeri-negeri yang dilanda banjir.

Sebanyak  7.1 juta penerima layak menerima BR1M membabitkan bayaran RM5.3 bilion pada tahun ini berbanding 7 juta penerima dengan bayaran RM3.64 bilion pada tahun lepas.

Pada tahun ini, 4.4 juta penerima daripada kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan menerima RM950 yang dibayar tiga kali setahun iaitu RM300 pada Januari dan Mei manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September ini, katanya.

Selain itu, 400,000 penerima daripada isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 yang layak menerima RM750 akan menerima RM200 pada Januari dan Mei manakala bakinya RM350 akan dibayar pada September.

Bagi 2.3 juta penerima individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, beliau berkata bayaran sekali gus sebanyak RM350 akan dibuat pada bulan ini.  

"Kita akan membayar BR1M dalam dua peringkat. Bagi 4.9 juta penerima yang telah mengemas kini maklumat pada 31 Disember, mereka akan menerima BR1M pada Khamis ini.

"Namun, bagi mereka yang belum mengemas kini maklumat peribadi atau mahu membuat permohonan baharu, pembayaran akan dibuat pada 12 Februari nanti," katanya.

Beliau menambah proses pendaftaran dan mengemas kini maklumat peribadi yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember dilanjutkan kepada 31 Januari ini berikutan bencana banjir.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan