Selasa, 20 Januari 2015

Perpustakaan Pekan Arau


Lapan kedutaan asing sumbang buku Islam
 
 
 
ARAU - Lapan Kedutaan Besar asing di Kuala Lumpur hari ini menyampaikan sumbangan pelbagai buku dan bahan mengenai agama Islam kepada Perpustakaan Pekan Arau di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksi penyerahan tersebut berupa 1,467 buah buku, cakera padat dan risalah di perpustakaan itu.

Setiausaha Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Datuk Johari Mohd Darus menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah Perpustakaan Malaysia Perlis, Machita Othman.

Kedutaan-kedutaan tersebut ialah Arab Saudi, Indonesia, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Syria, Kuwait, Maldives dan Kazakhstan.

Bertitah pada majlis itu, Syed Faizuddin berkata, sumbangan itu hasil inisiatif Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) yang memohon bahan-bahan tersebut daripada Perpustakaan Negara Malaysia Perlis yang kemudian mengajukan kepada Perpustakaan Negara Malaysia. 

"Beta merasa bertanggungjawab untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan berkaitan Islam selepas melancarkan Kempen Kutipan Buku Mengenai Islam dan buku-buku agama untuk Perpustakaan Pekan Arau pada 17 Julai tahun lepas.

"Tujuan kempen ini untuk menjadikan Perpustakaan Awam Pekan Arau sebagai platform rujukan ilmu berkaitan Islam dan nilai-nilai kontemporari di Perlis, mudah diakses, dikenali, mesra dan memberi impak kepada masyarakat," titah baginda.

Syed Faizuddin berharap dengan kepelbagaian bahan bacaan agama yang disajikan akan dapat memupuk budaya dan minat membaca masyarakat bagi membendung gejala sosial dan membentuk disiplin remaja dan kanak-kanak menjadi mantap.

"Gunakalah peluang dan kesempatan dengan kerap berkunjung ke Perpustakaan Pekan Arau untuk menelaah dan membongkar pelbagai rahsia tersembunyi yang terdapat dalam bahan bacaan yang disediakan," titah baginda.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan