Jumaat, 2 Januari 2015

MB & Isteri Lawat Banjir


Banjir di Perlis , Kedah Terkawal


KANGAR - Sebanyak tiga pusat pemindahan mangsa banjir masih dibuka di Perlis bagi menempatkan 209 orang dari 66 buah keluarga membabitkan satu daerah, manakala daerah lain keadaan sudah kembali pulih.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis berkata, setakat 4 petang semalam, hanya Beseri masih dilanda banjir manakala Padang Melangit dan Tasoh yang sebelum ini dinaiki air sudah surut.

Pusat pemindahan yang masih dibuka ialah di Dewan Sri Malau, Dewan Beseri Dalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi.

Bagaimanapun, keadaan terkawal dan hanya beberapa kawasan dalam daerah ini masih ditenggelami air,” katanya.

Menurutnya, paras air di Empangan Timah Tasoh juga terkawal.

“Difahamkan, aliran air keluar ke laut agak perlahan menyebabkan beberapa kawasan di Beseri masih banjir, namun jika tidak berlaku hujan lebat, mangsa boleh kembali ke rumah masing-masing esok,” katanya.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 28 orang, setakat petang semalam.

Jurucakap MKN Kedah berkata, hanya dua pusat pemindahan masih dibuka iaitu di daerah Padang Terap, Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau manakala sebuah lagi di SK Sungai Kecil Ulu, Mukim Bagan Samak di daerah Bandar Baharu, Kulim.

“Jumlah mangsa di Padang Terap ialah 14 orang daripada tiga buah keluarga, manakala di Bandar Baharu melibatkan 14 mangsa dari empat keluarga.

"Cuaca baik sejak awal pagi antara faktor menyebabkan kebanyakan tempat dilanda banjir sejak malam semalam, beransur pulih," katanya.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan