Isnin, 12 Januari 2015

Pasar Tani Perlis

Jualan pasar tani di Perlis cecah RM15.2 juta
 KANGAR - Nilai jualan di 410 pasar tani di seluruh Perlis sepanjang tahun lepas mencecah lebih RM15.2 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ahmad Bakri Ali.

Beliau berkata 32 Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) pula mencatatkan jualan berjumlah lebih RM7.4 juta meningkat 21 peratus daripada jualan tahun 2013.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Mangsa Banjir Agensi-Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat negeri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis di Tapak Pasar Tani Taman Sena Indah di sini, hari ini.

Ahmad Bakri berkata kerajaan negeri akan membuka dua lagi pasar tani tahun ini di Sungai Chuchoh, Titi Tinggi dan Simpang Empat dekat sini serta dua GBBS baharu di Chuping dan Kuala Perlis.

"Pembukaan pasar tani dan GBBS tambahan ini diharap memberi peluang kepada ramai penduduk Perlis memasarkan hasil pertanian mereka sejajar dengan penduduk negeri iaitu lebih 67 peratus adalah petani," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan bilangan usahawan tani muda semasa sebanyak 220 orang akan meningkat kepada 300 orang menjelang akhir tahun ini.

Mengenai kerosakkan 374 hektar sawah padi di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis akibat banjir baru-baru ini, Ahmad Bakri berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan sebanyak RM2.7 juta kepada kerajaan pusat bagi membantu 991 petani-petani yang terjejas.

Mengenai tabung kemanusiaan yang dilancarkan hari ini, beliau berkata kutipan dibuka sehingga 9 Januari ini.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan