Selasa, 20 Januari 2015

Politik Semasa - Masih ISU TGHAH


Anwar enggan campur desakan minta Hadi undur


Anwar Ibrahim

PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas desakan ahli Pas supaya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berundur dan tidak bertanding dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Bagaimanapun Anwar berkata, tidak wajar baginya dan pimpinan PKR lain untuk mencampuri masalah rakan komponen PR itu kerana ia merupakan urusan dalaman Pas.

"Itu soal urusan Pas, tidak adil saya komen perkara itu lebih-lebih lagi untuk bincang hal Pas, malah tidak adil untuk kita campurinya," katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Bersama Anak Muda anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan bekas Exco Pemuda Pas Pusat, Zulhazmi Shariff yang mencadangkan Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017 pada pertengahan tahun ini.

Sebaliknya Abdul Hadi lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Sementara itu, Anwar juga memberitahu pihaknya akan membawa isu pilihan raya PBT Pulau Pinang yang dibuat tanpa persetujuan PKR dan Pas dalam mesyuarat Majlis PR akan datang.

"Saya dapat penjelasan daripada DAP semalam dan kita setuju supaya perkara ini dirujuk dalam mesyuarat PR akan datang.

"Tarikh akan ditetap sebaik saja ada persetujuan daripada semua pimpinan dan kami masih menunggu (persetujuan)," ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan mesyuarat Majlis PR akan dibuat selepas penstrukturan semula Bajet 2015 pada Selasa ini, Anwar bagaimanpun enggan memberi sebarang tarikh.

"Kita menunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi respon pada Selasa untuk menyedari betapa serius (krisis ekonomi) perkara ini.

"Sebab itu kita menggesa jawatankuasa krisis nasional itu dianggotai oleh semua parti dan NGO untuk membincangkan krisis ekonomi termasuk mangsa banjir di semua negeri yang terlibat," katanya lagi.


______________________________________________


Nasib Hadi, kita tunggu muktamar nanti


Mohd Misbahul Munir Masduki

IPOH – Kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih lagi relevan untuk terus menerajui Pas biarpun menerima kritikan pelbagai pihak.

Ketua Penerangan Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, sebarang cadangan untuk menukar pimpinan bukan hak individu sebaliknya diputuskan di peringkat kawasan.

Menurutnya, tindakan individu secara terbuka mahu Abdul Hadi tidak dicalonkan pada muktamar akan datang adalah tidak wajar.

“Sebarang cadangan harus disalurkan di dalam mesyuarat di peringkat kawasan atau cawangan, bukan meluahkan melalui media sosial kerana ia dilihat cuba merendah-rendahkan  pemimpin.

Kita dididik untuk menegur secara baik dan bukan keluarkan kenyataan seolah-olah mahu menjatuhkan pemimpin,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas Perak berpandangan, Abdul Hadi perlu kekal sebagai presiden memandangkan sumbangannya bukan sahaja diiktiraf negara ini, malah luar negara.

Mengenai cadangan agar Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am Pas, beliau berkata, setakat ini Pas masih memerlukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memegang jawatan itu.

Kelmarin, Presiden Geng Ustaz, Norazli Musa tampil dengan kenyataan bahawa Abdul Hadi harus kekal menerajui parti itu biarpun ada pihak yang mula mengetepikannya.

Isu mengenai kepimpinan Abdul Hadi timbul selepas bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Shariff mencadangkan pemimpin itu tidak dicalonkan sebagai presiden, sebaliknya sebagai Mursyidul Am Pas menggantikan Nik Abdul Aziz.



______________________________________________


Penganalisis: Tidak calonkan Hadi cadangan baik

Tuan Guru Haji Datuk Seri Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM – Cadangan agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai Presiden Pas semula pada pemilihan parti 2015-2017 akan datang disifatkan sebagai satu syor yang baik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, Pas perlu berjalan seiring dengan perubahan zaman dan parti itu memerlukan seorang pemimpin yang mampu membawa Pas terus ke hadapan.

Beliau berkata, seorang Presiden parti perlu mampu menjalinkan hubungan lebih baik dengan parti komponen serta berusaha meredakan ketegangan yang wujud.

“Kalau nak mereformasi Pas supaya sesuai dengan tuntutan zaman dan mengambil kira kedudukan Nik Aziz yang sudah berusia serta tidak begitu sihat, saya fikir memang cadangan itu baik asalkan Abdul Hadi itu ikhlas untuk berundur.

“Seorang Presiden itu harus seorang yang lebih dinamik, lebih maju pemikirannya dan dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan parti komponen yang lain untuk meredakan ketegangan yang wujud sekarang,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berpandangan kerusi itu dijangka bakal diganti dengan golongan ulama yang lebih arif dengan perjuangan sebenar Pas.

Ketika ditanya dakwaan yang menyebut Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu sebagai pengganti Abdul Hadi, Dr Jeniri berkata, Mat Sabu dilihat sebagai pengimbang dalam Pas.

“Memang ada puak yang suka kepada pemimpin lain (bukan Abdul Hadi). Sebagai contoh, Mat Sabu itu dilihat sebagai pemimpin dan pengimbang antara dua kuasa itu dalam Pas sekarang

“...Walaupun tidak dinafikan ada puak yang tidak suka Mat Sabu. Jadi, itu bergantung pada sokongan di pihak tertinggi Pas sama ada mereka menyokong atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya disalurkan melalui mesyuarat parti.

Kalau Pemuda Pas tak setuju, dia perlu bawa kembali perkara itu kepada mesyuarat majlis tertinggi Pas, buat mesyuarat khas. Sama ada mereka sokong kenyataan Pemuda itu atau tidak.

Abdul Hadi dipilih melalui mesyuarat agung secara demokrasi.

 Ikut mana-mana peraturan organisasi pun, seseorang yang dilantik secara demokrasi melalui pemilihan ramai kalau nak diturunkan perlu melalui mesyuarat agung kembali.

“Kecuali mereka mahu menggunakan cara politik.

 Paksa Abdul Hadi dan beliau menarik diri.

 Kalau dia tarik diri serta meletak jawatan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Sharif dalam laman Facebooknya mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017, yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.



__________________________________________________




Abdul Hadi harus kekal presiden

  • Hadi Awang
IPOH - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus kekal menerajui parti itu biar pun terdapat suara sumbang mahu ketepikan kepimpinan ulama di dalam Pas.

Presiden Geng Ustaz, Norazli Musa berkata, kenyataan seorang individu yang mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan pada muktamar akan datang merupakan sebahagian langkah untuk menggagalkan gerakan Islam untuk terus berkembang.

Kami sedar cetusan ini adalah provokasi politik murahan. 

Kami mengambil peluang daripada isu ini untuk menyedarkan penggerak gerakan Islam isu yang dipropagandakan sekarang adalah sebahagian langkah untuk mencacatkan kemajuan gerakan Islam yang sedang dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang menyokong aktiviti Islam dan kepimpinan Islam, saya sebagai Presiden Geng Ustaz ingin menyatakan bahawa Abdul Hadi adalah permata Islam di bumi Malaysia yang tiada galang ganti,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Norazli berkata, bukan sahaja di negara ini, Abdul Hadi turut menjadi rujukan politik Islam seluruh dunia selain diberi penghormatan untuk menyelesaikan masalah umat Islam di Timur dan Barat.

Menurutnya lagi, Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, mempunyai peranan besar dalam mendamaikan sengketa di Selatan Filipina, Acheh dan Yaman selain turut mencari penyelesaian kepada permasalahan Timur Tengah terutama di Palestin dan Syria.

“Adalah amat tidak wajar, seorang yang menjadi rujukan dunia, tetapi kita di tanah air ini tidak mengambil faedah dari kepimpinan beliau. 

 Oleh yang demikian, dalam kita meraikan suara demokrasi pemilihan kepimpinan Islam, kita juga perlu beradab dan memegang panduan Islam sepenuhnya.

“Cubaan lari dari landasan kepimpinan begini, amat merugikan seluruh dunia gerakan Islam,” katanya lagi.

Beliau berkata, Geng Ustaz mengajak pencinta gerakan Islam di negara ini supaya berdiri kukuh di belakang Abdul Hadi untuk memimpin gerakan dakwah dan politik Islam sehingga ke akhirnya.

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas, Zulhazmi Sharif dalam laman Facebooknya sebelum ini, mencadangkan agar Abdul Hadi tidak dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti 2015-2017, yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Beliau, yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada muktamar 2013 berkata, ini kerana Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.



_________________________________________________


Jawatan presiden: Belum sampai masa untuk komen'

 Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR - "Ini bukan masanya untuk membangkitkan dan berbincang soal pemilihan Presiden, lambat lagi dan hanya akan berlangsung pada Jun nanti."

Demikian jawapan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub apabila persoalan itu dibangkitkan.

Tegas beliau, kini semua pihak sedang menumpukan seluruh usaha dan tenaga dalam membantu mangsa-mangsa banjir untuk meneruskan kehidupan mereka.

Dalam parti ini, sudah menjadi satu kebiasaan bahawa jawatan itu sentiasa terbuka untuk dipertandingkan kepada ahli-ahli Pas.

Nantilah... bila sampai masanya saya akan komen.

 Belum masanya untuk kita bercakap tentang ini.

 Kalau saya komen nanti orang kata, politik ini tidak mengenal keutamaan.

Buat masa sekarang, kita nak utamakan mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan rumah,” katanya.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang diajukan soalan sama bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Itu... Pergi tanya dialah (penulis artikel).. Saya tidak ada kena mengena dengan dia,” katanya sebaik menerima asakan mengenai persoalan yang sama daripada pihak media.

Sebelum ini, bekas Exco Pemuda Pas Pusat mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti 2015-2017 yang akan berlangsung pertengahan tahun ini, sebaliknya lebih layak memegang jawatan Mursyidul Am Pas menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur.

Zulhazmi Shariff yang juga calon Ketua Pemuda Pas pada pemilihan 2013 menjelaskan, ini kerana Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti dan tidak wajar pada masa sama bertanding jawatan lebih rendah (presiden) bagi mengelak berlaku pertindihan kepentingan ketika menjalankan tugas.

“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan presiden dan mengambil alih tugas Nik Aziz yang dilihat semakin uzur.

 Ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia, melayakkan beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas,” ujarnya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan