Rabu, 14 Januari 2015

Tangkapan Eric Paulsen


Jangan politik atau manipulasi tangkapan Eric Paulsen - KPN

Eric Paulsen

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mempolitik atau memanipulasikan isu tangkapan peguam Eric Paulsen sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam.

"Jangan lakukan sesuatu dengan niat jahat dan bersekongkol untuk membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan atas nama kebebasan yang boleh merosak dan menghancurkan fabrik masyarakat majmuk," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tangkapan yang dibuat ke atas Paulsen adalah tangkapan berlandaskan undang-undang demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama.

Beliau juga menyeru masyarakat agar tidak mengambil mudah keamanan yang dikecapi dan jangan lakukan sesuatu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan kerana ia membawa implikasi keselamatan yang amat serius.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa jua yang melanggar undang-undang di negara ini, demi menjaga hak dan kebebasan rakyat untuk hidup aman dan damai tanpa dihasut oleh pihak yang mempunyai agenda tersirat," katanya.

Paulsen mengeluarkan kenyataan menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Paulsen menerusi catatan di laman Twitternya pada Jumaat lepas berkata: "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat.

 Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia".

 Kenyataan itu bagaimanapun telah dipadam setelah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Khalid dalam laman Twitternya pada 9.40 malam tadi mengesahkan bahawa Paulsen ditangkap di Brickfields.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan