Ahad, 6 Januari 2013

Ubat Batuk Di Siling

Polis rampas ubat batuk disembunyikan di siling rumah

KANGAR 4 Jan. - Tindakan pantas polis menghalang cubaan seorang lelaki melarikan diri dengan memanjat siling rumahnya di Kampung Behor Gelam, Arau, akhirnya membawa kepada penemuan 83 botol ubat batuk yang disembunyikannya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Arau, ASP Zulkiflee Rashid berkata, semasa pemeriksaan di rumah tidak bernombor itu pukul 3.45 pagi pada 1 Januari, polis mengesan lelaki berumur 30 tahun itu cuba menyembunyikan diri dengan memanjat siling rumah itu sebelum menarik kakinya.

Zulkilee yang mengetuai operasi itu berkata di sini, polis kemudiannya memeriksa bahagian siling rumah itu dan menemui sebuah kotak yang mengandungi 83 botol ubat batuk jenama “Sunex Cough Syrup".


Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, polis yang mengadakan serbuan ke kawasan berkenaan menahan seorang wanita 50 tahun yang dipercayai ibu lelaki itu, wanita berumur 29 tahun dipercayai isterinya dan seorang lelaki 20 tahun dipercayai adik ipar lelaki itu. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan