Anita menunjukan tempat barangan yang dibakar suaminya.
Anita

KANGAR - “Saya sudah serik diperlakukan sedemikian,” luah Anita (bukan nama sebenar), yang mendakwa dipukul suaminya ketika masih berpantang selepas 42 hari melahirkan anak bongsunya.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku, dua jiran lelaki secara kebetulan datang ke rumahnya selepas mendengar anaknya menangis di tengah malam, lalu mereka ingin membawa anaknya untuk mendapat rawatan di hospital berdekatan.

“Baru beberapa minit sahaja mereka di rumah saya, suami saya terus sampai lalu bertanyakan kasut siapa yang berada di luar rumah.
 Belum sempat untuk menjawab dia terus menendang perut dan menumbuk muka saya.

“Saya meraung meminta tolong, tetapi tiada siapa yang berani membantu.
 Lalu dia memukul saya dengan kerusi dan lesung batu di kepala,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, lebih teruk lagi, apabila suaminya membogelkannya dan menyeret sehingga ke birai pintu seolah-olah dia diperlakukan seperti orang yang sudah mati.

Mangsa berkata, suspek yang berusia 40-an itu bukan hanya membakar motosikal milik ibunya malah semua pakaian, dokumen peribadi, peralatan elektrik termasuk kipas dan televisyen turut dibakar.

Dalam kejadian ini, mangsa menerima 10 jahitan di kepala dan lebam di badan serta kedua-dua matanya.

Ibu mangsa, Aminah (bukan nama sebenar), berkata, dia sedih kerana kejadian ini berlaku ketika anaknya masih berpantang.

“Motosikal yang saya belikan untuk memudahkan perjalanan anak saya pergi ke klinik berhampiran untuk memeriksa kandungannya sebelum ini turut dibakar oleh suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas suspek berhubung kejadian itu yang didapati bercanggah dengan laporan yang diterima sebelum ini.

“Sekiranya belum mempunyai bukti yang kukuh, kita akan menyambung reman suspek berdasarkan pengesahan daripada Mahkamah Majistret di sini untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya serangan bermotifkan cemburu dan sudah menahan reman suspek empat hari bermula kelmarin sehingga 9 Januari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.