Khamis, 31 Januari 2013

Lahir Di Mahkamah

 
Bayi pertama lahir di mahkamah



Bayi lelaki selamat dilahirkan Shahidawati.
 
 
Pekerja mahkamah membantu menyelamatkan bayi lelaki yang sedang dilahirkan.
 
KANGAR - Seorang wanita, Shahidawati Shabudin, 37, selamat melahirkan seorang bayi lelaki di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, semalam, ketika menunggu suaminya yang sedang mendapatkan perintah mahkamah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).

Menurut Pendaftar Mahkamah, Monica Joseph Gaisah, kejadian itu berlaku jam 10.45 pagi, ketika itu seorang tukang cuci secara kebetulan melalui kawasan berkenaan terdengar suara wanita sedang menangis sambil meminta tolong.

“Pekerja terbabit terus bergegas mendapatkan mangsa dan melihat kepala bayi hampir keluar daripada rahim ibunya.

“Dalam keadaan kelam kabut dia cuba menenangkan keadaan dengan memanggil orang ramai berhampiran Kompleks Mahkamah untuk sama-sama membantu wanita berkenaan,” katanya.

Monica berkata, ibu dan bayi itu berjaya diselamatkan namun, urinya masih tersangkut dan tidak boleh keluar bersama bayi yang dilahirkan sebelum ambulans dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) tiba 10 minit kemudian di tempat kejadian.

“Walau bagaimanapun selepas ramai membantu, mangsa dan anaknya dibawa ke hospital untuk rawatan susulan dan kami hanya menyerahkan perkara itu kepada pihak hospital untuk langkah selanjutnya,” katanya
Monica berkata, kejadian itu merupakan kelahiran pertama yang berlaku sepanjang beliau berkhidmat sebagai pendaftar di mahkamah berkenaan.

“Bayi lelaki itu merupakan anak keempat mereka yang dijangka akan dilahirkan pada 1 Februari ini dan berkemungkinan boleh dijadikan sebagai anak angkat mahkamah dengan mencadangkan nama Mohd Arif Hakim ke-pada ibunya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan kepada tertuduh supaya berubah dan insaf dengan kejadian yang berlaku selepas melihat keadaan isterinya yang bertarung nyawa melahirkan anak mereka.

Sejurus kejadian itu, suasana tegang bertukar pilu apabila tertuduh, Narizam Saad, 37, menangis setelah melihat isterinya bersalin sewaktu dia sedang dibicarakan.

“Tertuduh kemudiannya menangis apabila melihat isterinya yang berada bersama di mahkamah menemaninya, walaupun sedang sarat mengandung,” katanya.

Sementara itu, Majistret, Tuan Zuhair Rosli, yang juga menyaksikan kejadian itu akhirnya membuat keputusan agar tertuduh, dibebaskan dengan pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh dua tahun.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan