Rabu, 30 Januari 2013

Tambah Anggota AW

Askar Wataniah perlu kreatif tambah anggota


KANGAR 28 Jan. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rejimen Askar Wataniah lebih kreatif memikat lebih ramai belia dan beliawanis menyertai pasukan itu, termasuk dalam kalangan bukan Melayu.

Titah baginda, masih banyak ruang untuk bukan Melayu, anak-anak Felda dan individu menyertai pasukan yang menjadi benteng pertahanan nombor dua negara itu.

Bertitah pada Majlis Taklimat Perancangan Latihan dan Aktiviti Sukarela Tahun 2013 Regimen 504 Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri dekat sini hari ini, baginda berharap perancangan itu akan berupaya membentuk sukarelawan yang terlatih dan kental.

"Selain itu, semua batalion dalam rejimen wajar diberikan skop dan tanggungjawab masing-masing, merencanakan strategi dalam usaha menambah bilangan anggota, termasuk promosi dan latihan," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah bertitah, Askar Wataniah akan terus mendapat tempat jika latihan dan aktivitinya memenuhi kehendak, cita rasa dan cara hidup belia dan beliawanis masa kini.

"Bagi menjayakan misi dan visi pasukan, setiap pegawai mestilah bersedia untuk bekerja keras tanpa rasa penat dan jemu serta mematuhi arahan pihak atasan.



"Kejayaan mustahil dicapai sekiranya anggota dalam organisasi tidak memberikan sepenuh komitmen," titah baginda.

Baginda turut meminta para jurulatih supaya mempunyai kesedaran bahawa mereka merupakan acuan dan penentu kepada tahap pencapaian seseorang anggota sukarela.

Sehubungan itu, baginda mahu mereka terlibat melengkapkan diri dengan pengetahuan luas di samping bersedia berkongsi pengalaman.

Terdahulu, baginda mendengar taklimat perancangan latihan dan aktiviti yang disampaikan timbalan komander rejimen itu, Leftenan Kolonel Zulfakar Abdul Wahid.

Rejimen 504 Askar Wataniah kini mempunyai kekuatan 249 orang pegawai dan 1,186 orang anggota lain-lain pangkat serta sukarelawan dan sukarelawati. - Bernama





Tiada ulasan:

Catat Ulasan