Ahad, 6 Januari 2013

SPRM buat tapisan

Tapisan SPRM pastikan calon PRU bebas rasuah

Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Pengerusi JKMR
 
Kangar: Tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap calon pilihan raya umum (PRU) bukan bertujuan menyekat mana-mana individu daripada bertanding.

Sebaliknya, langkah itu bagi memastikan semua yang disenarai sebagai calon untuk bertanding dalam PRU-13 benar-benar bebas daripada sebarang perlakuan berunsur rasuah.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, percaya tiada sebab untuk mana-mana individu yang disenarai sama ada mewakili Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang berasa risau, jika mereka bersih daripada rasuah.

Saya tidak lihat masalah dalam hal ini kerana ia seperti garis panduan disediakan SPRM berhubung dana politik," Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Pengerusi JKMR

“Pada saya cadangan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon untuk ditapis SPRM adalah langkah yang baik. Namun, ia hanya boleh dipraktikkan jika dipersetujui semua pihak.

Garis panduan dana politik

“Saya tidak lihat masalah dalam hal ini kerana ia seperti garis panduan disediakan SPRM berhubung dana politik sebelum ini, yang mana ia harus diberikan kepada ketua parti dan bukan lagi individu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Radzi berkata demikian mengulas cadangan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM yang mencadangkan semua parti politik menghantar senarai calon yang akan bertanding pada PRU-13 untuk ditapis.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan beberapa pihak, khususnya pembangkang kerana bimbang ia akan menafikan hak seseorang individu untuk bertanding.

Radzi mengakui dari segi praktiknya, amalan saringan itu berdepan sedikit kesukaran kerana senarai calon perlu dihantar awal kepada SPRM, sedangkan kebanyakan parti politik tidak akan berbuat demikian.

Katanya, cadangan tapisan hanya akan berjaya jika semua parti politik sanggup dan bersetuju menyerahkan senarai nama calon masing-masing lebih awal kepada SPRM.

“Ketika saya menjadi Setiausaha Agung UMNO dulu, kita menyaring senarai calon pilihan raya. Namun, ketika itu senarai berkenaan dihantar ke Jabatan Insolvensi untuk memastikan mereka bebas daripada isu muflis dan bukannya rasuah,” katanya. 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan