Imam ikuti latihan menyelamat mulai Februari
KANGAR 3 Jan. - Para imam dan pegawai masjid di Perlis akan diberi pendedahan mengenai kaedah menyelamatkan nyawa, sejajar dengan usaha menyediakan rakyat negeri ini dengan kebolehan menyelamat di saat memerlukan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini.Sehubungan itu, titah baginda, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Persatuan Perubatan Kecemasan Malaysia (Mastem) akan mengadakan kursus menyelamatkan nyawa buat para imam dan pegawai masjid mulai Februari ini.
MAIPs dalam kenyataannya hari ini menyatakan, titah Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs, antara pengisian kursus itu, termasuk memberi latihan 'Rythmic CPR Choreograph for Mass CPR'.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin lagi, pelbagai program juga sedang disenaraikan oleh JAIPs dengan kerjasama MAIPs untuk dimasukkan dalam kalendar perancangan JAIPs 2013, termasuk kegiatan sempena sambutan hari ulang tahun Keputeraan Raja Perlis yang ke-70 pada 17 Mei 2013 ini.
Kegiatan itu akan melibatkan penyertaan rakyat, terutama umat Islam dalam segenap peringkat di negeri ini.
Antara yang disenaraikan termasuk ekspo, penyampaian tauliah pendaftar perkahwinan negeri Perlis, serta
program tauliah pegawai masjid negeri Perlis yang semuanya akan diadakan dalam bulan Februari 2013. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan