Khamis, 31 Januari 2013

Terjunam Kereta


Terjunam dalam kolam ikan

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan.
( Dek Wan )
 

Ruslim ( Bapa )

PADANG BESAR - Seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian selepas kereta yang dinaiki bersama bapa saudaranya terlibat dalam satu kemalangan di Batu 18, Jalan Kaki Bukit, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, Mohd Hazwan Asyraf Ruslim, 12, dalam perjalanan menemani Rusdi Husub, 35, untuk mengisi minyak di stesen minyak berhampiran.

Bagaimanapun, bapa saudaranya dipercayai gagal mengawal kenderaannya untuk mengelak sebuah motosikal yang merentasi laluan sebelah kanan jalan dari Kaki Bukit ke Padang Besar.

Difahamkan, kereta dinaiki mangsa terbabas sehingga ke bahu jalan lalu terjunam ke dalam kolam ikan.

Mangsa yang merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik kepada pasangan Ruslim Pin, 40, dan Husnita Husub, 39, meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ruslim berkata, anaknya itu yang dikenali dengan nama timangan Dek Wan dalam kalangan saudaranya adalah seorang peramah dan suka bergaul dengan ramai orang.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada rakan memaklumkan kejadian itu ketika berada di Semadong untuk mengambil ubat di sebuah klinik.

“Sebelum pergi mengambil ubat di Semadong, saya dan isteri memaklumkan kepada Dek Wan namun dia hanya mendiamkan diri dan tidak mahu bercakap.

“Malah apa sahaja yang disuruh, dia akan lakukan tanpa menjawab atau bergurau senda seperti sebelum ini.

“Saya hairan dengan tindakannya itu dan merasakan ia adalah perkara biasa serta tidak menyangka itu adalah petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslim redha biarpun sedih kehilangan anak lelaki tunggalnya.

“Hasrat saya untuk melihat Dek Wan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hujung tahun ini seperti kakaknya yang lain tidak kesampaian dan hanya menyerahkan segala-gala kepada takdir,” katanya.

Mangsa dikebumikan jam 10 pagi semalam di Tanah Perkuburan Batu 15, Kampung Melayu, Kaki Bukit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros mengesahkan kejadian dan polis masih menjalankan siasatan.

Menurutnya, seorang kanak-kanak maut selepas mengalami cedera parah di kepala  manakala seorang lagi hanya luka dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).









Tiada ulasan:

Catat Ulasan