Isteri curang ketika berpantang parah dibelasah suami
KANGAR 6 Jan. - Seorang suri rumah yang sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua, cedera parah dibelasah suaminya yang terserempak wanita itu berpelukan dengan lelaki lain di rumah mereka.
Kejadian berlaku di rumah sewa pasangan suami isteri itu di Kampung Repoh di sini kira-kira pukul 5 pagi semalam.
Difahamkan, wanita berusia 27 tahun itu cedera selepas dipukul menggunakan objek keras seperti kerusi, lesung batu dan bingkai gambar oleh suaminya, seorang pekerja kontrak berusia 40 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah kerana mengalami kecederaan di badan, mata dan mulut selain luka akibat kesan hiris di belakang kepala.
"Suami wanita ini bertindak sedemikian selepas dia baru pulang ke rumah dari Kuala Lumpur dan melihat isterinya sedang berpelukan dengan seorang lelaki lain.
"Ketika kejadian, dua anak mereka yang berusia 5 tahun dan 40 hari turut berada dalam rumah dan tidak cukup dengan itu, suspek turut membakar pakaian dan motosikal milik mangsa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, susulan kejadian ini polis menahan suami mangsa dan kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, suspek juga didapati memiliki lima rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif mengambil dadah jenis 'methamphetamine'.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera parah dengan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 425 kanun yang sama iaitu khianat dengan api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan