Ahad, 6 Januari 2013

Kor SuKsis UNIMAP

Skuad ketiga Kor Suksis UNIMAP terima tauliah


 
 Sebahagian daripada 52 siswa Suksis Universiti Malaysia Perlis menunjukkan sijil pentauliahan mereka pada majlis Makan Malam Sempena Pentauliahan Kor Suksis Skuad 2009 di Mes Pegawai Kanan Polis di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
 
 
KANGAR 1 Jan. - Sebanyak 52 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima pentauliahan masing-masing pada majlis khas yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda di sini baru-baru ini.

Ini merupakan skuad ketiga yang ditauliahkan selaku Kor Suksis UniMAP menerusi pengambilan pada 2009.

UniMAP telah mula membuat pengambilan untuk skuad pertama Kor Suksis pada 2007 di mana telah menjalani majlis tamat latihan pada 2010.

Majlis pentauliahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron.

Dalam ucapannya, Zull Aznam berharap modul latihan untuk masa hadapan dapat diubah suai supaya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang lebih mencabar.

Selain itu katanya, Suksis juga perlu diberi pendedahan melalui lawatan ke luar negara supaya dapat memberi pengalaman lebih luas berhubung dengan sistem pertahanan negara lain.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, mahasiswa harus bijak dalam menentukan masa depan mereka.

"Para penuntut bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dalam akademik, malah turut memiliki pengetahuan dan kebolehan dalam ilmu kokurikulum," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr. Zul Azhar Zahid Jamal yang juga Komandan Suksis UniMAP.

Beliau menyeru penuntut supaya menggunakan ilmu pengetahuan yang ada dan menjadikan ia sebagai pedoman dengan pegangan agama yang kukuh, disiplin diri yang kental dan sentiasa meletakkan kepentingan negara, agama dan bangsa di hadapan.

Sementara itu, Kor SUKSIS (KS) Ahmad Fikri Mohamed Jaffar, penuntut tahun empat Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Beliau yang bercita-cita menjadi pegawai polis itu amat terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diterimanya.

Selain itu, KS Cheang Wei How dari PPK Bahan pula menjadi penerima Anugerah Latihan Luar Terbaik dan anugerah Akademik Terbaik menjadi milik KS Nurul Sa'adah Mohamad Zaini.

KS Lee Yee Ann, penuntut tahun empat PPK Komputer dan Perhubungan pula menerima Anugerah Ketua Polis Negara berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang dan juga aktif menyertai setiap aktiviti semasa latihan.













Tiada ulasan:

Catat Ulasan