Che Amah tak pernah kenal erti jemu menjaga Norlaila sebaik mungkin.


KANGAR - 'Saya teringin melihat wajah emak dan ayah,' luah seorang gadis yang menderita sakit kronik berikutan keinginan berjumpa dengan ibu bapa kandungnya yang belum pernah dilihat sejak kecil lagi.
Norlaila Rasni, 21, berkata, sudah sebulan dia terlantar di rumahnya di Taman Bunga Padi di sini, berikutan penyakit yang dihidapinya itu.

“Saya teringin jumpa mereka, saya rayu agar mereka datang melihat keadaan saya.

“Perasaan rindu ini hanya ALLAH yang tahu,” katanya.

Norlaila yang pernah belajar di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU) dalam bidang kejururawatan pada tahun 2007 dengan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinasihatkan berhenti atau tangguh pengajian oleh pihak universiti berkenaan kerana sering sakit.
Norlaila yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menegah Syed Hassan (SMSH) dekat sini berkata, dia memohon belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau pada 2011 dalam jurusan pra sains sebelum ke UiTM Puncak Alam pada 2012 lalu dalam bidang kejururawatan selepas penyakitnya hampir pulih.

Namun begitu, dia yang disahkan doktor mengidap penyakit kencing manis ketika berumur 13 tahun turut menderita masalah saraf dan penyakit lelah menyebabkan dia terpaksa berhenti belajar pada tahun lalu sehingga sekarang.

“Sejak akhir-akhir ini selera makan saya sudah kurang dan badan pun dah makin kurus.

“Pada waktu ini, tiada apa yang saya inginkan melainkan mahu jumpa emak dan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sementara itu, ibu angkat Norlaila yang memeliharanya sejak kecil, Che Amah Senawi, 55, berkata, dia tidak keberatan memenuhi hasrat gadis yang sudah dianggap sebagai anak kandungnya itu untuk bertemu semula dengan kedua insan yang dirinduinya.

Che Amah berkata, dia dan suami, Kamaruddin Shahrif menjaga Norlaila sejak berusia 14 hari lagi bagaikan menatang minyak yang penuh.

Dia berkata, dia sekeluarga sangat menyayangi Norlaila seperti darah daging sendiri malah amat keberatan untuk berpisah dengannya walaupun ditakdirkan bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya selepas ini.

Penderitaan yang ditanggung Norlaila sekarang adalah penderitaan seluruh keluarga bahkan Che Amah sanggup berbuat apa saja asalkan penyakit Norlaila sembuh seperti sedia kala.

Katanya, sehingga kini dia dan suaminya sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengubati penyakit Norlaila termasuk menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Che Amah memaklumkan, ibu Norlaila yang dikenali sebagai Rosidah Don berumur 40-an berasal dari Tunjang, Kedah manakala bapanya Rasni yang dikatakan berasal Johor. Sesiapa yang mengenali mereka diminta berhubung terus di talian telefon bimbit Norlaila  017- 5531071.