Selasa, 8 Januari 2013

Kencing Tikus


Pusat rekreasi Gua Kelam lengang

Kain rentang amaran diletakkan berhampiran Sungai Gua Kelam yang melarang orang ramai melakukan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes seorang pelajar dijangkiti virus kencing tikus selepas dikatakan mandi-manda di Gua Kelam, Perlis, baru-baru ini.


PADANG BESAR 6 Jan. - Pusat rekreasi Gua Kelam di sini yang biasanya sesak dengan orang ramai menjalankan aktiviti mandi-manda, berkelah dan berehat di hujung minggu, kini lengang ekoran kebimbangan wabak virus kencing tikus atau leptospirosis.

Penggantungan beberapa sepanduk amaran kepada orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti mandi-manda di pusat rekreasi itu sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, juga menyebabkan jumlah pengunjung terus merosot.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Sumber Asli dan Penguatkuasaan serta Kepenggunaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim telah mengarahkan pusat rekreasi itu ditutup serta-merta kepada orang ramai.

Penutupan dilakukan ekoran kes seorang pelajar Matrikulasi Arau yang terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas disyaki terkena jangkitan kencing tikus selepas mandi-manda di pusat rekreasi itu baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Datuk Dr. Ghazali Othman memberitahu, pelajar yang dimasukkan ke HTF sejak 31 Disember lalu itu dikatakan telah datang ke Gua Kelam untuk mandi-manda bersama dua lagi rakan yang setakat ini tidak mengalami sebarang tanda dijangkiti penyakit itu.

Katanya, pengesahan sama ada pelajar itu dijangkiti virus tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu kerana sampel darah pelajar untuk ujian makmal telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Malah beliau berkata, pihaknya masih menyiasat lokasi sebenar punca wabak tersebut sama ada berpunca di Gua Kelam atau di tempat lain kerana terdapat percanggahan tarikh pelajar itu datang ke pusat rekreasi berkenaan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Alia Zamri, 20, yang pertama kali melawat pusat rekreasi tersebut mengakui pusat rekreasi berkenaan adalah tempat pelancongan yang menarik.

"Saya datang hanya untuk berjalan-jalan dan memang tidak ada niat untuk mandi-manda," katanya.
Begitu juga dengan Aishah Nabila Mior Azman, 20, yang mengakui biasanya dia akan melakukan aktiviti mandi-manda jika berkesempatan berkunjung ke pusat rekreasi yang mempunyai sungai seperti itu.

Bagaimanapun, dia akur dengan arahan tersebut dan berharap pusat rekreasi berkenaan akan bebas daripada virus kencing tikus kerana kawasan yang disediakan untuk mandi-manda cantik dan menarik.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan