Pemecatan Nasharudin penuh misteri
Nasharudin Mat Isa
KUALA LUMPUR 29 Jan. -
Tindakan Majlis Syura Ulama Pas mengumumkan
pemecatan bekas Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya
kelmarin menimbulkan misteri dan pelbagai persoalan yang masih tidak
terjawab.
Antara persoalannya ialah punca pemecatan itu berlaku sama ada
disebabkan kegagalan Ahli Parlimen Bachok berkenaan hadir ke mesyuarat
Majlis Syura Ulama Pas atau
ekoran tindakannya mengiringi lawatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.
Malah sumber berkata, tidak mustahil berita pemecatan yang diumumkan
sejurus selepas kepulangan Nasharudin mengiringi lawatan Perdana Menteri
ke Gaza bertujuan mengalihkan
isu kalimah Allah yang sebelum ini
menjadi perbualan hangat dalam masyarakat.
Lebih menimbulkan persoalan selain berita pemecatan itu lewat
diumumkan iaitu selepas dua minggu keputusan dibuat (13 Januari), surat
mengenai pemecatan ini juga sehingga kini masih belum diterima oleh
Nasharudin," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan sumber itu berkata, jika alasan tidak
hadir mesyuarat digunakan untuk memecat Nasharudin, mengapa salah
seorang ahli Majlis Syura Ulama Pas iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi yang
juga sering tidak hadir mesyuarat tidak dikenakan tindakan sama.
Sepatutnya Daud Iraqi juga wajar dipecat kerana sering tidak hadir
dalam mesyuarat.
Bagaimana pula tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang sering keluar mesyuarat awal dengan pelbagai
alasan.
Paling lama sepuluh ke 15 minit. Adakah ini dibolehkan?" ujar
sumber itu.
Sumber itu berkata lagi, tidak keterlaluan juga tindakan yang sama
wajar dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang sering tidak
hadir ke mesyuarat.
Berhubung kegagalan Pas menyerahkan surat pemecatan kepada Nasharudin
sumber itu memberitahu, keadaan itu sememangnya menimbulkan misteri dan
persoalan kerana keputusan pemecatan itu telah berlaku pada 13 Januari
lalu.
Di mana keberkesanan pentadbiran Majlis Syura Ulama Pas dan
Setiausaha Agung Pas menguruskan perkara ini. Satu lagi persoalan adakah
benar keputusan memecat Nasharudin itu telah dibuat pada 13 Januari
lalu.
Atau kemungkinan juga pemecatan itu dibuat selepas pemimpin-pemimpin
Pas melihat Nasharudin mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak ke Gaza baru-baru ini. Segala-galanya mungkin," katanya lagi.
Satu lagi perkara yang boleh dipertikaikan kata sumber itu, Pas tidak
mengikut tata cara pemecatan yang betul kerana Nasharudin sebelum
dipecat tidak diberi surat tunjuk sebab dan haknya untuk membela diri.
Dalam pada itu sumber tersebut berkata, sekiranya tindakan Nasharudin
mengiringi Perdana Menteri ke Gaza dianggap satu kesalahan, dua lagi
pemimpin kanan Pas juga perlu dikenakan tindakan sama kerana mengiringi
seorang Menteri Kabinet ke Eropah baru-baru ini.
Dua pemimpin ini merupakan Ahli Parlimen Pas.
Mereka dikatakan telah
mengiringi seorang Menteri Kabinet ke Eropah. Sekiranya Nasharudin
dikatakan bersalah kerana mengiringi Perdana Menteri, dua pemimpin kanan
ini juga boleh dikenakan tindakan atas alasan yang sama," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kata sumber itu, Nasharudin bukan
sekali dua diberi peluang untuk mengiringi pemimpin utama kerajaan ke
luar negara bahkan beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi wakil
Malaysia.
Pernah satu ketika iaitu pada tahun 2011 Nasharudin telah diberi
kepercayaan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mewakilinya dalam
persidangan Speaker negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di
Damsyik meskipun Nasharudin seorang Ahli Parlimen Pas," katanya lagi.
Sementara itu Nasharudin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan
bahawa beliau belum menerima surat pemecatan sebagai ahli Majlis Syura
Ulama Pas setakat hari ini.
Saya masih menanti surat itu, sepatutnya saya sudah menerimanya
kalau betul keputusan pemecatan dilakukan pada 13 Januari lalu,"
katanya.