• Pati ditahan sebelum dibawa ke Pos PGA BKC 7 Padang Besar.
PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan kegiatan sindiket yang mewujudkan tempat persinggahan bagi menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) di Taman Negeri Perlis di sini, kelmarin.

Hasil intipan selama dua hari di taman berkenaan yang dikenali Bukit Burma, anggota PGA menahan 38 Pati warga Bangladesh dan Myanmar di kem terbabit.

Komander Kompeni B Batalion ke-3 PGA, Asisten Superintendan Joe King Marian berkata, kem persinggahan terbabit dilengkapi khemah termasuk tempat memasak dan mandi bagi menempatkan Pati terbabit.

“Ia menjadi tempat persinggahan sebelum kesemua Pati dibawa masuk ke negara ini selepas mereka terpaksa berjalan kaki dari Thailand selama lima jam untuk sampai ke situ.

“Seramai 22 warga Bangladesh dipercayai masuk ke Thailand dengan menggunakan bot mengikut jalan laut dan apabila sampai, mereka menaiki kereta selama dua jam sebelum terpaksa berjalan kaki masuk ke kawasan bukit,” katanya kepada Sinar Harian.

Joe King berkata, cara kemasukan 16 lagi warga Myanmar juga sama dan kesemua mereka dipercayai didalangi oleh sindiket sama untuk masuk ke sempadan Malaysia.

Menurutnya, kesemua Pati itu ditahan kira-kira jam 5 petang di kem terbabit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pos PGA di Wang Kelian di sini.

“Pati berkenaan kini ditahan di lokap Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya.