Jumaat, 2 Januari 2015

Lemas


Lemas main air banjir




KANGAR - Seorang remaja berusia 15 tahun dijumpai lemas ketika bermain air di kawasan banjir berdekatan rumahnya, di Taman Beseri Indah .

Mangsa, Mohd Izwan Ahmad dikatakan keluar bermain air di kawasan sawah padi bersama seorang rakan dan adiknya.

Mangsa dikatakan tidak timbul selepas membuat terjunan terakhir di kawasan itu yang turut menempatkan sebuah kolam.

Abang mangsa, Abdul Hafiz, 22, berkata, adiknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri membawa seorang lagi adik berusia 9 tahun sejurus solat Jumaat untuk bermain air di kawasan sawah padi berkenaan.

“Ketika saya balik ke rumah selepas solat Jumaat, saya dapati mereka dah tiada. Sekitar 3.30 petang, anak saudara saya datang ke rumah memberitahu Mohd Izwan didapati lemas,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke lokasi kejadian dan cuba mencari adiknya, namun gagal.

“Selepas itu, kami panggil orang ramai bantu cari adik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Padang Besar, Mohd Zamri Mohd Azmi berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 3.20 petang mengenai kehilangan mangsa.

“Kemungkinan mereka tidak menyedari kewujudan sebuah kolam dalam kawasan sawah padi itu menyebabkan mereka bermain air di situ.

"Difahamkan, mereka ke situ selepas solat Jumaat berikutan lokasi dekat dengan rumah,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dijumpai sekitar 5 petang dengan bantuan polis dan penduduk kampung.

Jenazah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan