Abd Jamil menunjukkan kawasan projek lencongan banjir barat yang memberi kesan terutama kepada penduduk berdekatan di Kampung Bukit Kechik.

KANGAR - Kira-kira 300 penduduk di Kampung Bukit Kechik, Bintong, di sini, terjejas apabila projek lencongan banjir barat di kampung berkenaan ‘mengganggu’ kehidupan harian mereka sejak Julai 2013.

Menurut seorang penduduk Saudah Othman, 55, perubahan cuaca angin timur sejak penghujung tahun lalu menyebabkan habuk sentiasa menyelubungi rumahnya tanpa mengira masa.

Katanya, musim panas yang membawa angin timur itu menerbangkan debu dari kawasan projek yang hanya kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Habuk ini semakin teruk apabila jentera-jentera berat mula beroperasi bermula jam 8 pagi setiap hari sehingga lewat petang, lori yang keluar masuk juga menyumbang keadaan debu yang lebih banyak.

“Setiap hari saya terpaksa cuci lantai terutama lantai berjubin, selain terpaksa menutup tingkap rumah sepanjang masa bagi mengelak lebih banyak habuk melekat di dalam rumah,” katanya.


Keadaan berhabuk tidak dapat dibendung lagi oleh keluarga Rosni.

Jejas kesihatan
 
 
Kenderaan Rosni turut berhabuk.

Keadaan berhabuk itu juga menjejaskan kesihatan Saudah apabila sering batuk dan muntah dipercayai akibat menghirup udara yang tercemar dengan debu.

Jelas Saudah, sejak awal tahun ini, dia sudah beberapa kali ke klinik untuk mendapatkan rawatan apabila sesak nafas, batuk dan muntah.

“Penuh ubat saya dalam plastik setelah beberapa kali jumpa doktor, saya dah tak mampu nak elak debu di sini, bayangkan setiap barangan di dalam rumah ini dipenuhi debu dan seperti menjadi tugas baru saya membersihkan debu ini terutama di dapur dan ruang tamu.

Takkan saya nak pakai topeng muka sepanjang masa, saya sangat berharap pihak kontraktor di sini dapat mengambil tindakan dengan menyiram tanah dengan air bagi mengurangkan debu sebelum keadaan penduduk lebih melarat,” katanya.

Lantai pecah

Bagi suami Saudah, Rosni Talib, 62, dia terpaksa membaik pulih lantai rumahnya apabila lantai berjubin itu sudah dua kali pecah.

Ujar Rosni, ia berlaku apabila jentera berat beroperasi.

“Selain saya tanggung kos kerugian jubin pecah, saya turut risau akan berlaku pergerakan tanah yang semestinya kita tidak boleh nampak.

“Hati saya memang tidak senang apabila jentera berat sedang beroperasi, bimbang rumah ini akan retak teruk sebelum projek ini siap,” tambahnya lagi.

Banjir kilat

Seorang lagi penduduk yang merupakan Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bintong, Abd Jamil Kamis berkata, pihaknya telah mengadu masalah berkenaan kepada pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, musim hujan pada awal Disember tahun lalu menyebabkan beberapa rumah di kampung itu dinaiki air dan mereka juga terpaksa dipindahkan.

“Apabila hujan berterusan selama dua hari, air akan bertakung dan melimpah ke rumah penduduk kerana kawasan projek tersebut ditimbus dengan tanah menjadikan ia lebih tinggi berbanding dengan rumah penduduk.

“Pihak saya sangat berharap JPS dapat mengarahkan kontraktor di sini buat parit atau saliran supaya air dapat mengalir apabila hujan,” kata beliau.

Tindakan segera

Sementara itu, Pengarah JPS Perlis, Abdul Najib Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera menyiram air di kawasan projek lencongan banjir barat di kampung itu.

Beliau memberitahu, projek tersebut dijangka siap pada penghujung tahun ini dan pihaknya bersedia mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk.

“Kami sedar mengenai kesan yang bakal berlaku kepada penduduk sementara projek ini disiapkan demi kebaikan rakyat di masa hadapan.

“Namun untuk tindakan di musim panas ini, saya telah pun mengarahkan tanah-tanah di kawasan melebarkan beberapa batang sungai di situ dibasahi air semasa kerja-kerja mengorek tanah dilakukan,” katanya.