Selasa, 20 Januari 2015

Ragbi di Perlis


56 pasukan sertai Karnival Ragbi Antarabangsa Perlis

 


Gambar Hiasan Sahaja

KANGAR: Sejumlah 56 pasukan, termasuk lima pasukan luar negara akan berentap pada Karnival Ragbi Antarabangsa Perlis 2015 selama dua hari bermula 24 Januari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Jamil Saad berkata pasukan luar tersebut masing-masing dua dari Singapura dan Thailand dan satu dari Brunei yang menyertai kategori bawah 21 tahun. 

Katanya wakil Malaysia, COBRA, yang memenangi tempat ketiga pada Kejohanan ASEAN Bawah 19 Tahun di Manila, Disember lalu turut mengambil bahagian pada edisi kelima tahun ini. 

Selain kategori bawah 21 tahun, karnival ini turut mempertandingkan kategori 18 tahun dan antara kolej vokasional, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata karnival tersebut juga acara pembuka tirai kalendar Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tahun ini. - Selain merebut tiga piala pusingan - Menteri Besar Perlis, Exco Belia dan Sukan dan Pengarah Kolej Vokasional Arau, johan setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM1,500 manakala RM700 untuk pasukan naib juara. 

Mohd Jamil berkata pertandingan secara liga itu akan berlangsung di padang Kolej Vokasional Arau dan padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Arau.

Kategori bawah 21 tahun adalah pertandingan Tujuh Sebelah disertai 24 pasukan (empat kumpulan) manakala Kolej Vokasional juga disertai 24 pasukan (empat kumpulan).

Kategori bawah 18 tahun pertandingan 10-Sebelah dengan disertai lapan pasukan dalam dua kumpulan.

Menurut Mohd Jamil karnival itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Persatuan Ragbi Perlis dan Kolej Vokasional Arau manakala syarikat Strike Rugbygear menjadi penaja utama. 













Tiada ulasan:

Catat Ulasan