Api mudah marak kerana terdapat tayar kenderaan di dalam kedai terbabit. 


KANGAR - Seorang wanita nyaris rentung apabila pengsan selepas terperangkap dalam kebakaran di rumah kedainya di Taman Bersatu, Arau dekat sini, kira-kira jam 1.12 pagi semalam.

Mangsa, Ooi Chah Chah, 28, bagaimanapun dapat diselamatkan anggota bomba dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Mohd Fadzil Haroon berkata, mangsa ditemui pengsan di pintu belakang kerana terperangkap dengan asal tebal.

“Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian bawah kedai menjual barangan alat ganti motosikal. 
Selepas dapat menyelamatkan wanita itu, bomba terpaksa mencari kedua ibu bapanya yang juga dimaklumkan berada di dalam rumah terbabit.

“Selepas setengah jam mencari pasangan itu, seorang saudara datang dan memberitahu bahawa kedua ibu bapanya berada di Kuala Lumpur dan pihak kami mengesahkannya melalui panggilan telefon dengan pasangan terbabit,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2015 peringkat negeri di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat , di sini, semalam.

Mohd Fadzil berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, api dapat dikawal pada jam 1.44 pagi setelah dua jentera dari Balai Bomba Arau dan Kangar dikejarkan ke tempat kejadian termasuk tiga lagi jentera dari bomba sukarelawan di Kodiang, Kedah dan Pauh, Arau.

“Kebakaran terbabit memusnahkan 80 peratus premis itu dan pihak bomba masih menyiasat punca dan anggaran kerugian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzil turut menasihatkan masyarakat merujuk terlebih dahulu kepada bomba sebelum membina bangunan sama ada untuk dijadikan tempat tinggal mahupun tempat berniaga.

Katanya, ini kerana terdapat 12 hingga 15 bangunan dibina di negeri ini pada tahun lalu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan bomba.

“Selepas siap dibina baru datang kepada kami dan apabila diperiksa bangunan itu tidak selamat untuk diduduki kerana beberapa faktor keselamatan seperti hanya mempunyai satu tangga sahaja.

“Oleh itu, mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk tinggal atau berniaga bagi mengubahsuai bangunan mengikut spesifikasi bomba dan ia merugikan pemilik bangunan itu selain kita juga mahu elak kejadian seperti yang berlaku pada wanita yang terperangkap terbabit sebab itulah kita
memerlukan dua tangga terutama di bahagian belakang supaya mangsa dapat keluar apabila berlaku kebakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil turut menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai bomba yang berkhidmat selama 30 tahun dan pesara bomba sempena majlis yang diadakan.