Maips perkenal Skim Saham Wakaf Tunai
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Maips bertitah, skim itu akan memudahkan untuk umat Islam melaksanakan ibadah wakaf mereka untuk projek yang memberi manfaat kepada umat.
Bertitah pada majlis penyerahan penyata zakat gaji tahun 2012 di Kampung Guar Syed Alwi dekat sini hari ini, baginda bertitah, Unit Wakaf dan Sumber Am Maips kini sedang rancak mempromosikan skim itu.
Unit itu yang diwujudkan akhir tahun lalu, memberi tumpuan kepada lima projek wakaf tunai termasuk pembangunan hartanah dan harta wakaf sedia ada, wakaf pembinaan dan penyenggaraan masjid dan surau serta wakaf al-Quran, kitab hadis dan buku ilmiah.
Dua lagi projek ialah, wakaf maahad tahfiz, sekolah agama dan tadika Islam serta wakaf tanah kubur dan penyenggaraan perkuburan.
Tuanku Syed Faizuddin turut mempelawa jabatan, institusi pengajian tinggi, sekolah atau badan swasta untuk menjalankan program-program kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR), tanggungjawab sosial universiti (USR) dan tanggungjawab sosial sekolah (SSC) dengan Maips.
"Maips mahu dianggap sebagai rakan kongsi yang tepat selain sebagai medium pelaksanaan sebarang bentuk program yang sangat berimpak oleh organisasi-organisasi di negeri ini khususnya kepada warga asnaf," titah baginda.
Baginda turut menggesa umat Islam di negeri ini supaya bersama-sama menyemarakkan semangat mempertingkatkan lagi kemajuan serta kehidupan golongan asnaf.
Sepanjang tahun lalu, Maips mengagihkan sebanyak RM54,355,038 kepada golongan asnaf di seluruh negeri termasuk bantuan membina 92 buah rumah untuk golongan asnaf serta 464 buah rumah yang dibaik pulih yang keseluruhannya bernilai RM6,520,406.
Selain itu, Maips turut mengeluarkan bantuan sara hidup kepada 2,418 orang penerima yang berjumlah RM1,512,327 serta bantuan serta-merta pelajaran kepada 2,451 orang pelajar berjumlah RM2,019,110.
Sempena majlis penyerahan penyata itu, Maips turut menyerahkan lima rumah asnaf yang dibina baru serta dibaik pulih dan menyampaikan sumbangan untuk projek Pembangunan Asnaf Maips.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Abdul Rasid Sudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan