Selasa, 26 Februari 2013

PATI India


20 pendatang tanpa izin India ditahan di Perlis

KANGAR - Seramai 20 pendatang tanpa izin rakyat India ditahan dalam serbuan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di dua premis di Taman Utara, Jejawi, dekat sini awal hari ini.

Lima belas orang daripada mereka ditahan dalam sebuah rumah yang didiami mereka di taman perumahan itu manakala lima lagi ditahan di sebuah bangunan kedai di taman perumahan sama.

Komander UPP Kawasan Chuping ASP Syed Basri Syed Ali berkata kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu berumur antara 20 dan 43 tahun.

Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata mereka dipercayai berada di Taman Jejawi sejak lebih sebulan lepas untuk mencari pekerjaan di sektor pembinaan di Perlis.

Syed Basri berkata hasil siasatan mendapati mereka memasuki negara ini pada 2011 melalui Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) dan pernah bekerja di sektor pembinaan di sekitar Lembah Klang.

"Kami percaya kehadiran pendatang itu diurus ejen tertentu tetapi mereka belum mempunyai pekerjaan sejak berada di sini," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka telah diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan