Selasa, 19 Februari 2013

Ribut di RPA Arau


Mangsa ribut segera dibantu



Kerja-kerja pemasangan bumbung rumah mangsa yang terlibat dengan kejadian terbabit.


Mangsa yang sedang trauma ditenteramkan oleh anggota JPAM.
 
ARAU - Ribut yang melanda secara tiba-tiba di Taman Perumahan Awam (RPA) dekat sini, kelmarin, menyebabkan bumbung di sembilan rumah penduduk mengalami kerosakan teruk.

Anggota Bahagian Latihan dan Perhubungan Awam, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis, Ahmad Syahir Solihin Sukiman berkata, seramai 17 anggota digerakkan ke tempat kejadian kira-kira jam 3.30 petang untuk membantu mangsa.

“Setelah berada di tempat kejadian, pihak kami segera mengarahkan beberapa anggota membaiki rumah penduduk secepat mungkin.

“Kami khuatir keadaan penduduk jika kediaman mereka tidak dibaiki segera,” katanya.

Menurutnya, kerja pemasangan bumbung dilakukan sekitar jam 5 petang hingga 12 malam di samping membantu menenteramkan keadaan mangsa yang trauma dalam kejadian itu.

Katanya, walaupun kejadian menyebabkan kerugian mencecah RM2,000 kepada setiap pemilik rumah, namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Sementara itu mangsa, Syed Hassan Syed Husain, 48, berkata, kejadian mencetuskan suasana panik apabila ribut yang melanda merupakan pertama kali berlaku di kawasan perumahan mereka.

“Saya terkejut melihat angin berpusing seolah-olah puting beliung.

"Tak pernah saya tengok angin berpusing sebegitu, dan dalam masa sekelip mata saja semua bumbung diterbangkan,” katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bumbung di bahagian ruang tamu rumahnya rosak teruk tetapi mujurlah keadaan yang kelam kabut itu tidak mendatangkan kecederaan kepada keluarganya.

“Saya bersyukur kerana kuasa ALLAH SWT yang berlaku petang kelmarin tidak menyebabkan kecederaan yang menimpa mana-mana ahli keluarga saya ataupun masyarakat sekeliling,” katanya.

Menurutnya, dengan kehadiran anggota JPAM untuk menghulurkan bantuan memasang semula bumbung di rumahnya dan rumah jiran-jiran yang lain, sekurang-kurangnya mampu meringankan beban mereka.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan