Raja Muda Perlis berbasikal sampaikan sumbangan Maips
PADANG BESAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam berbasikal sejauh 20 kilometer bagi menyampaikan sumbangan tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) kepada dua institusi pendidikan di Guar Jentik, dan Beseri, di sini.
Hujan renyai tidak menghalang baginda yang juga Yang Dipertua Maips mengetuai program kayuhan yang membabitkan 50 peserta itu bermula di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) Guar Jentik.
Program bertemakan 'Kayuhan Mesra, Cekap Dan Telus' kelolaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bermula 5 petang dan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin dan Pengarah JPJ Perlis, Zulhasmi Mohamad.
Pada program itu baginda menyampaikan bantuan tahunan Maips sebanyak RM100,000 kepada IPTIPs melalui Rektornya Fadhli Ilias.
Selepas berkayuh lebih 12 kilometer, baginda singgah di Madrasah Miftahul Hidayah, Beseri dan menyampaikan sumbangan Maips berjumlah RM50,000 kepada bendahari madrasah itu, Fasharizal Ishak.
Terdahulu baginda bertitah, pelbagai program disusun sepanjang tahun ini bagi memperkasakan Maips termasuk memperkemaskan projek penempatan perkampungan asnaf Batu Bertangkup yang memberi fokus kepada kegiatan pertanian.
Maips juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan Pusat Kesihatan Maips sendiri merangkumi pusat dialisis, klinik dan farmasi, titah baginda.
Selain itu, titah baginda, Maips melalui Unit Pembangunan dan pelaburannya akan memantapkan kutipan hasil hartanahnya di samping menceburi peluang ke arah menjadikan Maips sebagai perbendaharaan Islam terunggul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan