Tiada tempat khas, sampah dilonggok
Tinjauan mendapati, selain menyakitkan mata, bungkusan sampah terbabit bertaburan begitu sahaja sehingga mengundang bau busuk.
Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rumah Seri Kenangan Kangar, Ahmad Raimi Azmi, berkata, masalah itu berlaku sejak setahun lalu apabila beliau mendapati banyak longgokan sampah dibuang berhadapan kompleks itu.
“Terdapat penduduk melalui jalan menuju ke pekan Kangar atau Arau di sini sesuka hati membaling bungkusan sampah di tempat pengumpulan sampah rumah jagaan warga emas ini,” katanya.
Menurutnya, kakitangan pusat jagaan itu meletakkan sampah di hadapan kompleks tersebut untuk memudahkan lori pengangkut sampah memungut bungkusan berkenaan dan lokasi itu bukan tempat pembuangan sampah oleh orang awam.
“Sampah penduduk tidak harus diletakkan di sini kerana menampakkan pemandangan kurang elok bila pelawat datang berkunjung ke Rumah Seri Kenangan ini. Mereka perlu cari alternatif lain supaya tidak buang sampah di kawasan pengumpulan sampah disediakan kepada kami.
“Sedangkan kami hanya letakkan bungkusan sampah sahaja di kawasan itu bagi memudahkan lori pengangkut sampah supaya tidak perlu masuk ke dalam kawasan jagaan ini,” katanya.
Kakitangan kompleks jagaan itu, Ruslan Jaafar, berkata, orang awam sepatutnya prihatin keadaan yang berlaku kerana pihak jabatan telah membayar kepada kontraktor untuk menyewa tapak pengumpulan sampah berhadapan kompleks tersebut.
“Jika mahu tempat buangan sampah khusus, mereka perlu bayar kepada kontraktor terbabit yang mana tidak menyusahkan orang lain untuk memungut sampah mereka yang dibuang sesuka hati di sini,” katanya.
Menurutnya, perkara itu telah diajukan kepada pihak berkuasa.
“Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan segera kerana dengan sikap masyarakat kurang prihatin menimbulkan kemudaratan kepada penghuni disebabkan longgokan sampah ini mengundangkan binatang liar dan pencemaran alam,” katanya.
Penduduk Kampung Jejawi Dalam, Ismail Mat, 63, berkata, kebanyakan orang ramai salah faham dengan membuang sampah di kawasan berkenaan kerana tong sampah tidak disediakan kepada penduduk hingga mereka terpaksa melonggokkan buangan di kawasan itu.
Menurutnya, dia juga difahamkan bukan hanya penduduk berdekatan malah orang ramai dari daerah Mata Ayer dan Oran turut membuang sampah di situ.
“Saya menyarankan supaya pihak berwajib mengatasi masalah ini secepat mungkin agar penduduk mempunyai sebuah tempat pembuangan sampah yang khas dan tidak mengganggu tempat pengumpulan sampah pihak lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan