Md Isa minta penduduk Perlis tanam lima pokok mempelam harumanis
Katanya usaha itu juga akan membantu menambah pendapatan penduduk memandangkan mempelam harumanis mendapat sambutan menggalakkan dari dalam dan luar negara.
Penduduk Perlis harus mengambil peluang daripada keadaan tanah di negeri ini yang amat sesuai untuk pokok mempelam harumanis dengan menanamnya di sekeliling rumah, katanya berucap pada majlis penyampaian anak pokok mempelam harumanis kepada anggota Unit Peladang Kampung Jarak, di sini hari ini.
Beliau turut menyampaikan benih padi kepada anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong pada majlis itu.
Md Isa berkata setakat ini buah mempelam harumanis banyak dieksport ke Jepun dan Singapura selain pasaran tempatan.
Sementara itu, Pengurus Besar PPK Bintong Ruzhan Abdul Raof berkata PPK berkenaan dilantik menjadi pembekal anak mempelam harumanis di Perlis yang dijual pada harga minimum.
Lembaga Pertubuhan Peladang telah menyalurkan peruntukan RM150,000 bagi PPK Bintong menyediakan tapak menghasilkan anak mempelam harumanis di bawah pemantauan pakar Jabatan Pertanian Perlis, katanya kepada pemberita selepas itu.
Selain membekalkan benih, PPK Bintong juga menggalakkan anggota menanam pokok itu dan sejak 2010 sehingga kini sebanyak 3,000 pokok sudah ditanam di atas kawasan seluas 25 hektar.
PPK Bintong katanya bermatlamat menambah 1,300 pokok setiap tahun menerusi 13 unit PPK itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan