Jui Meng: PR optimis akan buat kejutan di Johor
NORSHAHZURA MAT ZUKI & HASLINA KAMALUDIN FOTO: SAFWAN MANSOR
Datuk Chua Jui Meng
WALAUPUN bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng
kini bersama PKR, perjuangannya tetap sama untuk membela hak rakyat
pelbagai bangsa di seluruh negara dan khususnya di Johor.
Kekangan dan
masalah dalaman parti dianggap asam garam dunia politik
tidak mematahkan semangatnya untuk membantu rakyat.
Ikuti temu bual
Pengerusi PKR Johor ini bersama NORSHAHZURA MAT ZUKI dan HASLINA
KAMALUDIN serta jurukamera, SAFWAN MANSOR.
Sebagai permulaan, bagaimana Datuk melihat gerak kerja PKR Johor dalam usaha untuk menawan seberapa banyak kerusi di Johor?
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), PKR memperoleh sifar kerusi di
Johor, pada masa itu organisasi kita (PKR) tidak cukup kuat. Selepas
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya masuk Johor jadi
Pengerusi PKR Johor, saya bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan kita
dapat lebih kerusi berbanding pilihan raya lalu.
Kita bermula dengan
sifar, tetapi sasaran kita hari ini lebih daripada itu.
Beberapa sasaran PKR?
Analisis yang dilakukan, seluruh kerusi Parlimen Johor mempunyai 26
kerusi.
Pada PRU12, satu sahaja kerusi iaitu Parlimen Bakri dimenangi
Pakatan Rakyat (PR) yang lain kekal kubu Umno dan MCA. Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) berbeza dengan PRU12.
Sekarang kita dapat jawapan iaitu pada PRU13, saya menganggarkan, PKR boleh mendapat lapan hingga 14 kerusi Parlimen.
Bagaimana Datuk melihat peluang PKR dalam saingan Pusat secara keseluruhannya pada PRU13?
Kita sudah dapat berita dalaman, Umno terdesak di Johor. Mereka sendiri
kata sekurang- kurangnya 10 kerusi Parlimen tidak masuk senarai, tidak
baik kepada Barisan Nasional (BN).
Kenapa ini berlaku? Pertamanya, usaha ketiga- tiga parti dalam PR (P
AS ,
DAP dan PKR) sejak pilihan raya lalu. Keduanya, karakter kerusi-kerusi
Parlimen yang sekarang kita warisi di
Johor, kita nak faham kenapa
selama ini Umno jadi
benteng Umno dan MCA.
Pilihan raya pada 1999, pembangkang menang banyak kerusi walaupun
Melayu tidak berpuas hati dengan cara Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir
Mohamad) kendalikan kes Anwar sehingga dia dibelasah teruk. Tun Mahathir
telah mengambil satu pendekatan iaitu
kalau kerusi majoriti tinggi
Melayu, maka tidak selamat bagi Umno.
Oleh itu, berdasarkan analisis itu, ini tidak ganjil kerana
pilihan
raya pada 1999, 60 peratus Melayu sokong pembangkang dan lari daripada
Umno.
Masyarakat Cina selamatkan Tun Mahathir dan BN. Majoriti besar
masyarakat Cina sokong BN.
Tun Mahathir membuat persempadanan semula kerusi- kerusi di seluruh
negara. Johor mempunyai 20 kerusi ditambahkan kepada enam kerusi
menjadikan negeri itu mempunyai 26 kerusi.
Jika kita ambil majoriti bangsa, 50 peratus ke atas satu bangsa, Johor
ada 16 kerusi parlimen yang disifatkan kerusi campuran. Kalau kita ambil
55 peratus satu bangsa, maka 18 kerusi Parlimen campuran. Ini yang kita
warisi daripada pilihan raya 1999 mewujudkan Umno pada masa itu.
Sekarang kita mewarisi persempadanan yang dibuat Tun Mahathir.
Ia baik
sehingga PRU12 untuk BN tetapi hari ini ia menjadi ancaman kepada BN di
Johor.
Saya membuat analisis, pemetaan politik Johor, kita nak tumpukan
kawasan tertentu dan
sekarang kita ada harapan termasuk kawasan Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein iaitu Parlimen Sembrong, Parlimen Ledang
serta kawasan yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Ghani Othman. Banyak
kerusi pemimpin Umno terancam.
MCA lagi teruk dalam keadaan sekarang.
Berapa peratus sokongan Melayu?
Walaupun masyarakat India aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
saya minta boleh kasi 50 (sokongan)? Mereka menyatakan bukan 50 sahaja
tetapi lebih kerana,
kita faham hati masyarakat India yang dipinggirkan
begitu lama dalam negara sendiri.
Antaranya kewarganegaraan, wang kebajikan tidak disampaikan kepada
masyarakat India yang miskin dan mereka dipinggirkan kerana warna kulit
dan keagamaan.
Sebelum ini mereka menyokong BN tetapi sekarang menukar pendirian untuk
menuntut keadilan bagi masyarakat Tamil di Johor dan seluruh negara.
Mereka sedar kenapa dipinggirkan selama 55 tahun.
Semua pemimpin PR yakin akan menang besar dalam PRU13. Adakah ia satu keyakinan realistik atau cakap-cakap sahaja?
Contohnya, saya buat ujian iaitu hari turun padang dengan anggota PKR
ke seluruh kawasan di Gelang Patah yang mempunyai Cina, India dan
Melayu. Saya pergi pejabat dan memberikan limau.
Masyarakat Cina berkata
jangan bimbang, kali ini tukar. Setiap masyarakat India yang saya
jumpa, 70 peratus yang berani cakap ‘ya kali ini kita tukar’.
Orang Melayu yang ditemui di pasar malam bersama masyarakat Cina dan
India berjabat tangan dengan saya sejumlah 20,000 rakyat di sana.
Selalunya Melayu akan simpan sahaja, tetapi kali ini saya gembira kerana
mereka juga menyatakan kepada saya supaya
jangan bimbang dan menyokong
saya.
Mereka mahu berubah.
Sebelum ini, segelintir masyarakat Melayu dan Cina serta India tidak
akan menerima risalah yang kita berikan dan itu menunjukkan mereka
menyokong Umno dan MCA. Itu hanya dua peratus.
Mereka masih mengenali saya sebagai mantan Menteri Kesihatan. Ujian ini
menunjukkan sejauh mana benar- benar mereka mahu perubahan.
Saya tidak
boleh bayangkan ramai memberikan sokongan secara terbuka kepada saya.
Ujian ini mendalam dan luas, lima hari di sana saya bersama penduduk di
pasar raya, tempat awam dan tempat berkumpul serta kedai kopi, saya
berjumpa mereka dan mendekati mereka.
Adakah ini perubahan drastik dan Melayu sudah semakin terbuka?
Ini perubahan yang drastik sehingga anggota kita yang pernah bertugas dalam pilihan raya, kagum dengan perubahan ini.
Adakah empat tahun lepas, tidak nampak perubahan ini?
Tidak nampak. Saya masuk sebagai pemimpin, ketika itu PKR masih lemah.
Sama ada ini boleh diterjemahkan dalam bentuk undi? Saya pasti ini akan
berlaku apabila Melayu berani suarakan perubahan.
Apakah pembaharuan yang dilakukan oleh Datuk dalam PKR?
Tingkatkan imej PKR di Johor di mana ramai tahu kita sudah boleh
mengorganisasikan parti, munculkan pasukan pemimpin yang ada kredibiliti
dan banyak aktiviti di Johor.
Elemen terpenting ialah Anwar Ibrahim.
Pada PRU12, dia tidak masuk Johor dan hanya dua kali sahaja. Jarang ada
aktiviti besar- besaran. Selepas saya masuk, membawanya ke semua
pelosok Johor.
Mula- mula dia tidak boleh masuk dan dihalang, Ketua
Polis Daerah menyatakan Anwar tidak boleh berucap. Ummo kacau, sekarang
lebih reda tetapi masih ada di Sembrong dan Pagoh yang merupakan kawasan
kuat Umno.
Apabila Anwar masuk selepas Bersih 2 dan Bersih 3, kerajaan tahu jika
masih menggunakan kekerasan, mereka kalah teruk, rakyat akan marah.
Walaupun masih ada kekacauan dan gangguan fizikal diteruskan.
Tetapi kita boleh masuk semua kawasan. Apabila Anwar masuk, seramai 8,000 hingga 12,000 hadir.
Sebelum ini di Tebrau, kita hanya boleh bermimpi sahaja untuk ke
kawasan itu.
Tebrau adalah kawasan Pas dan minta ditukarkan kepada Dun
Puteri Wangsa, saya ambil cabaran itu.
Baru- baru ini, 8,000 hadir di Putri Wangsa melibatkan pelbagai bangsa.
Sambutan macam idola dan Anwar membawa harapan kepada semua bangsa.
Rakyat boleh nampak perbezaan dasar BN dan PR.
Bagaimana Datuk melihat peluang PKR dalam saingan Pusat secara keseluruhannya dalam PRU13?
Daripada maklum balas lawan dan kawan, analisis kita sendiri, kali ini
boleh menang lebih daripada BN, satu majoriti cukup selesa.
Apakah tawaran PR kepada pengundi di Johor?
Kita sudah bersetuju di peringkat negeri melibatkan ketiga- tiga parti
iaitu kandungan manifesto akan dilancarkan sebaik sahaja Pusat
meluluskannya.
Apa yang saya sebut sistem akan ditukarkan daripada
sistem merampas tanah rakyat untuk kroni yang sekarang berlaku dalam
skala besar di Johor. Ia menguntungkan pemimpin BN dan keluarga mereka.
Satu sistem utamakan rakyat jelata yang mempertuankan rakyat, kita sebagai hamba rakyat.
Sekiranya PR menjadi Kerajaan Pusat, siapakah akan menjadi
perdana menteri, adakah Anwar atau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang?
Itu bukan persoalan sekarang, sudah dipersetujui oleh ketiga- tiga Presiden parti, Anwar akan menjadi perdana menteri.
Sebulan akan datang, berlaku cabar-mencabar di antara parti, apakah cabaran yang akan dihadapi PR?
Itu satu perkara biasa, menjelang pilihan raya, macam- macam tuntutan
akan dibuat. Bagi saya itu bukan perkara yang luar biasa. Kita mahu
gunakan parti dan pengalaman lama kita kendalikan supaya mencapai satu
yang baik untuk semua.
Adakah kemungkinan ada cabaran luar biasa?
Politik adalah politik, apa pun boleh berlaku di BN dan PR tetapi
bagaimana ketiga- tiga pemimpin tertinggi kendalikan akan tunjukkan
kewarasan dan kebijaksanaan mereka.
Di mana Datuk akan bertanding?
Saya akan bertanding di mana-mana bila saya dapat surat watikah dan bukti saya bertanding di satu- satu tempat.
Datuk ada menyatakan PR menang secara selesa, apakah kunci kemenangan PR?
Kunci sudah ada, boleh buka pintu masuk Putrajaya.
Apa yang rakyat
mahukan, hari ini mereka melihat sebuah kerajaan rasuah. Tidak boleh
tutup. Tidak kira bangsa, rasuah telah memiskinkan kita.
Johor dekat Singapura, boleh bandingkan apa yang berlaku di Singapura
tidak main isu perkauman semua diberikan peluang berdasarkan sistem
merit dan keperluan serta tidak ada orang dipinggirkan.
Keduanya, selain rasuah,
bagaimana pemimpin BN tamak haloba sehingga
kaut keuntungan mencecah trilion dan ia memalukan kita. Kenapa Singapura
menjadi negara ke 10 rakyatnya terkaya di dunia, walhal tidak ada
sumber semula jadi.
Kekayaan Singapura 500 hingga 600 lebih tinggi daripada Malaysia.
Seorang guru sekolah menengah boleh mendapat setiap bulan RM28,000.
Mereka tahu rasuah yang memiskinkan rakyat. Peluang optimum tidak akan
tercapai. Semua bidang, ekonomi, projek-projek kerajaan, bantuan kepada
rakyat dan sistem penswastaan dan lain- lainnya.
Semuanya untuk menguntungkan satu kelas yang kecil tidak cukup satu
peratus yang mereka itu sudah jadi kaya. Mereka sudah menjadi bilionair.
Orang yang terkaya di rantau ini tetapi rakyat diabaikan. Di Kuala
Lumpur, orang Melayu marah kerajaan, kenapa saya dalam keadaan ini
berbanding Singapura?
Datuk pernah berada di dalam kerajaan, bagaimana Datuk dengan
melihat keadaan politik, rakyat dan negara ini dahulu dan sekarang?
Saya nampak ada wawasan yang sama apabila dalam BN. Saya boleh
mengutarakan fikiran rakyat. Pada 1988, mengapa ada perubahan dasar oleh
Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana saya berdiri dan berucap dalam dewan
(Parlimen) sebagai 'backmanship', sehingga saya diserang Umno oleh
pasukan A dan B.
Selepas itu, Dr Mahathir ambil huru-hara kerana kritikan dalaman, Dr M
ambil tindakan dan ubah dasar iaitu Dasar Pembangunan Negara selepas itu
Wawasan Dasar Negara. Pada zaman itu, saya mewakili MCA (Cina). 70
peratus kepada pembangkang, 'swing' semula kepada kerajaan kerana ada
dasar.
Sehingga 2008, ada perubahan kepada orang Cina kerana ada janji yang
tidak ditepati iaitu 'janji dicapati'. Kami tertipu. kami beri sokongan
kuat kepada Umno-BN. Sekarang tidak lagi.
Isu tanah adalah isu besar di Johor termasuk di Selatan Johor. Kalau
ada hak milik rakyat dirampas dijadikan tanah pertanian. Kalau ada
pampasan, diberikan dengan nilai yang begitu kecil. Kampung juga
dirampas kerana ia dikatakan setinggan.
Bagaimana dengan nasib projek Pengerang?
Pengerang adalah ulangan apa yang berlaku di Nusajaya. Ia diberikan
oleh Tun (Dr Mahathir) dan Ghani ketika itu. Kerajaan mahu ambil tanah
untuk link kedua.
Di Pengerang sama juga, tanah yang diperlukan hanyalah 6,000 ekar untuk
projek Rapid. Tapi, mengapa mereka ambil sehingga 22,500 ekar? 17
kampung akan dimusnahkan.
Masjid dan surau akan dimusnahkan. Kubur akan
dialih. Sebahagian warga kampung telah diusir. Inilah permainan kerajaan
untuk kroninya.
Apakah isu di sebalik salah faham PKR Johor dan DAP Johor yang turut melibatkan Datuk sendiri?
Banyak tuduhan yang dilemparkan kepada saya menerusi laman blog. Mereka
tidak faham karakter saya. Mereka mengkritik saya sebagai bekas MCA.
Orang kena faham, bila saya keluar MCA, saya telah korbankan diri.
Kehidupan saya bersama BN pasti lebih selesa berbanding PKR.
Sumber
kewangan terhad dan terpaksa guna wang sendiri untuk membangunkan PKR di
Johor.
Bagaimana Datuk melihat tuduhan sebegitu yang dilemparkan?
Tuduhan itu liar dan tidak terperinci. Tapi saya bersyukur, masih ada
yang menyokong saya dan menafikan tuduhan itu. Tak apalah, biarlah saya
menjadi orang yang bangang, tak guna, selagi PR boleh menang. Saya ni
tak baik
hanya kerana bekas MCA.
Benarkah Datuk sukar untuk memberi kerjasama dengan parti gabungan lain?
Saya bila-bila masa boleh bekerja, termasuk kepada mereka yang
melemparkan tuduhan liar kepada saya. Sejak dalam kerajaan, saya
sentiasa menganggap diri saya sebagai hamba kerajaan. saya juga pernah
menasihatkan pegawai kesihatan.
Dengan itu saya ubah hospital dan klinik untuk membawa budaya penyayang
kepada rakyat. Ada orang mahu lupakan semua jasa saya. Bagaimana saya
mewujudkan pelbagai kemahiran termasuk perpindahan organ pelbagai jenis
dengan harga rendah dan tiada penswastaan.
Apakah isu DAP -PKR ini akan memberi kesan mendalam kepada PR untuk menang dalam PRU13?
Kalau berpecah, tak ada peluang dalam PRU13. Saya percaya selepas
pembahagian kerusi akhir dimuktamadkan, pada masa itu akan muncul iklim
bersatu padu.
Adakah ini melibatkan kerusi Gelang Patah?
Ada beberapa kerusi tetapi tidak banyak yang bertindih. Falsafah kita
adalah untuk menumpukan apa yang bersama. Jangan tumpukan kepada
sebahagian kecil yang ada pertindihan. Itu resipi untuk menang.
Saya tahu, kerana saya dalam kerajaan sangat panjang berbanding bersama
PR. Saya boleh nampak kalau berpecah maka peluang terhakis. Bukan kalah
tapi dihakis.
Adakah masih ada ruang untuk PKR dan DAP bekerjasama untuk memecahkan tembok BN di sana?
Tidak ada masalah. Di Johor, DAP ada banyak puak di sana. Puak yang berlainan dengan yang 'itu' masih bekerjasama dengan PKR.
Bagaimana Datuk melihat penerimaan orang luar yang melibatkan diri Datuk apabila dilemparkan dengan tuduhan sebegitu?
Ia bukan satu kritikan yang munasabah. Ia boleh mengakibatkan
orang-orang MCA yang memberi sokongan kepada PR pada PRU12. Jangan
terlalu optimis, dalam apa juga hak mantan MCA, orang MCA tak guna,
akhlak rendah dan masalah rasuah.
Masyarakat Tionghoa menyokong MCA sejak dulu sehingga 2008. Saya pernah
dapat 1,000 majoriti dan 2004, majoriti 19,000.
Jangan angkuh. Ada satu
fenomena, kerana keangkuhan Umno, kerana itu Cina lari kepada PR dan
merosakkan MCA, Gerakan dan BN.
Mengapa Datuk memilih PKR, tidak DAP selepas meninggalkan MCA?
Salah satu sebab adalah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda beliau
adil kepada semua. Beliau adalah seorang pemimpin Melayu pertama yang
berprestij tinggi dalam dan kalangan antarabangsa dan boleh menganalisis
Dasar Ekonomi Baru.
Beliau tahu dasar itu diperalatkan dan digunakan untuk memperkayakan
segelintir Melayu yang jadi kroni Umno. Melayu sudah sedar mengenai
fakta itu.
Ini orang yang saya percaya.
Saya juga pernah suarakan perkara ini semasa dalam MCA, dasar ekonomi
negara sudah 38 tahun, terlalu panjang di dunia. Sistem Aparteid sudah
habis. Sistem Marxisme di China juga ditamatkan selepas 30 tahun sahaja
dan kini mereka laksanakan sistem pasaran.
Melayu mahukan dasar yang tidak ada rasuah, penyalahgunaan kuasa,
kronisme dan nepotisme di mana rakyat diabaikan, kos hidup naik dan
rakyat jadi miskin. Saya setuju dengan pendapat Anwar.